‘Keserasian bukan dibuat-buat, tak tolak jika ada jodoh’

PENYANYI Ezra Kairo mengakui perjalanan kerjaya seni semakin baik selepas bersiaran langsung dalam media sosial dengan pempengaruh Ananda Natasha.

Katanya, perkenalan yang tidak dirancang itu telah mendekatkan mereka sekali gus menaikkan nama masing-masing sehingga kian dikenali.

Sejujurnya saya akui sejak kami melakukan siaran langsung bersama, saya semakin dikenali. Perkara sama turut berlaku kepada dia dan kami berdua sangat bersyukur,” ujar pelantun lagu Oh My Kadhale yang dinyanyikan bersama Zubir Khan.

Ezra atau nama sebenarnya Daniel Ezra Muhammad Shafiq Nichleson Abdullah, 23, mengulas video siaran langsung dengan Natasha atau mesra disapa sebagai Tasha pada awal Ogos lalu.

Tambahnya, sambutan baik daripada netizen turut membuatkan dia berasa selesa untuk berkawan dengan ibu tunggal anak satu itu.

“Keserasian kami bukan untuk konten, sekiranya dibuat-buat saya akan mengaku tetapi ini berlaku secara semula jadi. Dan, tak sangka siaran langsung kami mendapat sambutan baik.

Jadi, saya fikir jika ini yang peminat suka, baik kita teruskan dan lakukan sehabis baik. Ya, saya memang sudah keluar dengan dia dan bagi saya dia wanita yang baik.

“Dia mempunyai kesungguhan dan fokus terhadap kerjaya. Apa yang saya tahu dia sekarang agak sibuk,” ujarnya.

KESERASIAN Ezra dan Tasha setiap kali bersiaran langsung dalam media sosial seakan mendapat restu pengikut mereka.

Meskipun berada dalam fasa yang baik, Ezra bagaimanapun tidak dapat memberikan pengesahan mengenai hala tuju hubungannya dengan Tasha, namun tidak menolak sekiranya tertulis ada jodoh antara mereka.

Bagaimanapun, Ezra mengatakan Tasha sebelum ini pernah meluahkan rasa takut akan kehilangan.

“Buat masa ini saya tidak boleh beri pengesahan mengenai hubungan kami. Sejujurnya saya hormat dengan ruang privasi dia dan saya tidak tolak sekiranya pada masa akan datang ada sesuatu yang berlaku (jodoh) kepada kami.

“Jujur saya katakan ketika kami membuat siaran langsung perasaan malu itu ada. Tasha pernah kata yang dia takut akan kehilangan. Apa pun saya akan tetap sentiasa memberi sokongan kepada Tasha tidak kira sama ada kami bersama atau sekadar bersahabat.

“Kami saling menasihati antara satu sama lain dan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Terpalit dengan kontroversi rumah tangga, Ezra mendoakan semoga teman baiknya itu dapat mengharungi segala-galanya dengan penuh semangat dan kekal fokus terhadap kerjaya.

“Awak kini sudah berada di posisi yang betul, fikiran juga berada di tempat yang betul. Jangan cepat percayakan orang, tidak kisah dalam kerja atau apa sahaja.

“Paling penting fokus kepada kerjaya dan perkara penting dalam hidup. Tidak salah untuk mencari cinta, tetapi awak perlu mencintai diri sendiri dahulu baru boleh mencintai orang lain. Lakukan yang terbaik buat diri sendiri, anak dan keluarga,” nasihat Ezra buat Tasha.

Nama Tasha sebelum ini terpalit kontroversi apabila berlaku salah faham dengan bekas suami yang juga penceramah motivasi, Muhamad Andika Putera Salleh.

Andika dan Tasha bercerai pada 2022 atas faktor tiada persefahaman namun rujuk semula demi kebaikan anak, Alisha Puteri, 2.

Mereka bagaimanapun bercerai sekali lagi pada Disember tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok