‘Kalau berlakon tak semestinya saya perlu bersilat’

TIGA kali meraih anugerah Pelakon Filem Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sudah cukup untuk membuktikan betapa hebatnya Eman Manan sebagai seorang pelakon.

Memulakan langkah dalam bidang lakonan menerusi filem Matinya Seorang Patriot pada 1986, nama Eman Manan terus mekar mewangi biarpun sudah empat dekad menghambakan diri dalam bidang lakonan.

Kendatipun, bintang-bintang baharu hadir silih berganti sejak era 1980-an sehingga kini, nama Eman masih kukuh terpasak sebagai antara Hero Malaya paling disegani.

Kini pada usia 66 tahun, dia masih menjadi rebutan penerbit dan pengarah yang mahukannya sebagai pemeran dalam naskhah terbitan mereka.

Alhamdulillah saya masih aktif dalam bidang lakonan. Nak kerja kontrak (buruh) saya dah tak ada tenaga. Nak jadi tukang kayu, saya tak ada kemahiran. Nak buka kedai makan, saya tak pandai masak.

“Nak terjun ke bidang lain, saya tak ada pengetahuan dan pengalaman. Jadi saya teruskan dalam bidang lakonan.

Saya masih dan sentiasa mendapat tawaran dalam bidang lakonan setiap tahun sama ada untuk filem mahupun drama bersiri,” katanya.

EMAN menjayakan karakter ketua pengganas bernama Raja Iskandar dalam filem Takluk: Lahad Datu yang kini menemui penonton di pawagam tanah air.

Ditanya, adakah dia akan setia dalam bidang lakonan hingga ke hujung nyawa, Eman tidak meletakkan limitasi tentang jangka hayat profesionnya sebagai anak seni.

Selagi karya-karya yang dihasilkan tidak melanggar tatasusila, adat dan hukum serta memberi motivasi kepada masyarakat, kenapa harus saya meletakkan noktah dalam kerjaya saya?

“Kalau ikut kemahuan saya, memang saya ingin berlakon sehingga ke akhir nafas. Tetapi siapalah kita untuk melawan kehendak takdir? Seperti lagu Datuk Jamal Abdilllah, Takdir Penentu Segalanya,” katanya sambil menguntum senyum.

Selektif

Dikenali dengan kemahirannya dalam seni mempertahankan diri, tidak hairanlah anak jati Kuala Terengganu itu sering ditawarkan watak yang menuntutnya aksi persilatan. Selang waktu bergulir, ada masanya dia juga mula berasa bosan dengan watak yang stereotaip.

Apabila saya menglibatkan diri dalam sesebuah naskhah, mereka mengharapkan saya bersilat. Tidak semestinya semua karakter saya perlu bersilat.

“Disebabkan itu juga adakalanya saya terpaksa menolak beberapa tawaran yang datang.

Tahun lalu ada enam tawaran filem. Tetapi saya cuma memilih satu sahaja iaitu Takluk: Lahad Datu. Filem-filem yang lain saya rasa begitu tak kena dengan jiwa,” ujarnya.

EMAN bersyukur masih dikurniakan kesihatan yang baik pada usia 66 tahun.

Jika pelakon seusianya mungkin sudah memperlahankan aktiviti seni, namun tidak bagi Eman yang masih aktif mengerah kudrat dalam bidang lakonan.

Dia bersyukur kerana takdir hidupnya diatur cantik Yang Maha Esa apabila dikurniakan kesihatan yang baik.

“Bidang lakonan memerlukan orang yang sihat. Bila fizikal sihat maka pemikiran juga sihat. Disiplin harus dijaga.

“Penyakit datang daripada tiga sumber. Pertama keturunan, kedua gaya hidup dan ketiga apa yang kita makan.

“Alhamdulillah tiada ubat yang perlu saya makan setiap hari.

“Saya boleh makan apa sahaja. Kalau ada yang buat jamuan sembelih kambing boleh jemput saya. Musim durian nak ajak saya makan pun boleh,” selorohnya.

FILEM arahan Zulqarnain Azhar berjudul Takluk: Lahad Datu mula ditayangkan bermula 22 Ogos (semalam).

Bercakap mengenai filem terbaharu lakonannya, Takluk: Lahad Datu, Eman tertarik dengan skrip dan watak yang ditawarkan. Disebabkan itu jugalah filem ini menjadi satu-satunya karya yang diterimanya tahun lalu dalam banyak tawaran lain.

Dalam filem arahan Zulqarnain Azhar itu, Eman membawakan watak antagonis sebagai Raja Iskandar yang merupakan ketua kumpulan pengganas.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya turut mengikuti berita tentang peristiwa yang berlaku di Lahad Datu satu ketika dahulu. Masih tersemat di dalam ingatan saya tentang apa yang berlaku.

“Apabila ada sebuah produksi yang ingin membawa kisah begitu di layar perak, saya sangat berbesar hati untuk menerima tawaran yang diberikan. Filem ini menceritakan tentang salah satu peristiwa besar yang berlaku di dalam negara kita.

“Biarpun watak ini adalah antagonis dan tidak banyak babak seperti watak lain, tetapi (karakter) ini sangat penting.

“Wataknya juga berlainan dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini sebab saya sering diangkat sebagai wira, pejuang, ahli agama yang pada akhirnya membawa kejayaan,” ujarnya.

Selain Eman, filem terbitan Multimedia Entertainment dengan kerjasama Golden Screen Cinemas, Astro dan Sifxun Media tersebut turut dibintangi Syafiq Kyle, Fikry Ibrahim, Kamal Adli, Anding Indrawani dan anak saudara Eman sendiri iaitu Fad Anwar.

Takluk: Lahad Datu mula ditayangkan secara rasmi di pawagam seluruh negara bermula semalam (22 Ogos) sempena menyambut Bulan Kemerdekaan Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok