‘Kalau ada jodoh dengan Afieq Shazwan, terserah…’

TERPULANG apa orang nak kata, paling penting saya tahu kami berkawan baik.”

Itu respons penyanyi dan pelakon Wani Kayrie mengenai spekulasi hubungan cinta antaranya dengan Afieq Shazwan.

Kata Wani atau nama lengkapnya Syazwani Syafirah Abdullah, 24, dia dan Afieq sememangnya rapat sedari kecil dan selesa antara satu sama lain.

Mungkin kerana kami sudah dewasa sekarang jadi mereka berkata begitu, sedangkan saya dengan dia (Afieq) sudah berkawan sejak kecil.

“Hubungan kami bertambah rapat apabila menyertai pertandingan nyanyian (Big Stage musim pertama) sebelum ini.

Apabila perlu membuat kandungan (posting) bersama dan menjalani sesi latihan yang menampakan keakraban kami adalah kerana sudah sekian lama berkawan,” jelasnya kepada HibGlam.

Wani yang membuat persembahan bersama Afieq pada Anugerah TikTok Malaysia 2024 minggu lalu bagaimanapun tidak menolak jika bertemu jodoh dengan rakan baiknya itu.

Kalau ada jodoh itu terserah kerana benda baik kita amin saja, selebihnya tiada apa yang boleh saya katakan,” katanya

Pelakon drama Dayang Senandung itu juga menganggap tindakan rakan artis Janna Nick mengatakan hubungan mereka sekejap baik, sekejap tidak (on off) ketika mucul dalam sebuah program hiburan sebelum ini sebagai gurauan semata-mata.

Janna memang suka mengusik dan saya anggap itu gurauan. Sebelum ini kami pernah berlakon bersama, jadi dia selalu usik saya tanya mengapa tiada kekasih.

“Jadi ada benda juga saya bercerita dengan dia, tetapi macam yang saya kata, kami (Afieq) memang hanya kawan baik dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Khabar angin mengatakan Wani dan Afieq bercinta rancak diperkatakan sejak mereka hadir ke majlis perkahwinan penyanyi Sarah Suhairi pada 26 Julai lalu.

Bagaimanapun tahun lalu, Afieq pernah mengatakan dia bercinta dengan Wani namun hubungan mereka tidak kesampaian.

Malah, mereka turut dikatakan pernah bermasam muka tetapi kembali berbaik dan saling bermaafan ketika menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Aidilfitiri anjuran penyanyi Sissy Imann tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok