Kakak Sudirman meninggal dunia, kebumi di Temerloh

KAKAK kepada Allahyarham Datuk Sudirman, Datin Rodziah Arshad meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor, pukul 12.08 tengah hari tadi.

Khabar duka itu dikongsikan anaknya, Atai atau nama sebenarnya Razman Azrai Zainudin, 51, menerusi Facebook sebentar tadi.

“Emak saya, Datin Rudiah@Rodziah Haji Arshad telah kembali ke rahmatullah tepat pada pukul 12.08 tengah hari, Jumaat 30 Ogos 2024,” katanya.

Begitupun, Atai tidak memperincikan punca pemergian arwah, namun sekitar Julai lalu dia memaklumkan ibunya menghidap penyakit kronik

Menerusi hantaran sama, dia turut menzahirkan terima kasih kepada mereka yang datang menziarah sepanjang ibunya sakit dan mendoakan kesihatan insan kesayangannya itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah melawat mak atau berdoa atau yang senantiasa mengingati mak ataupun yang menjadi sebahagian hidup mak Atai.

“Semoga rohnya berada dalam kalangan orang-orang yang beriman,” ujarnya.

Allahyarham adalah insan penting dalam kerjaya dan kehidupan Sudirman yang merupakan penghibur nombor satu negara.

Bahkan ketika penyanyi itu sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992, Allahyarham tinggal dan dijaga Rodziah di kediamannya di Lucky Garden, Bangsar.

Anak kedua daripada tujuh bersaudara itu juga merupakan kakak kesayangan Sudirman.

Solat jenazah akan diadakan di Masjid Abu Bakar Bangsar, sebelum dibawa ke kampungnya di Temerloh, Pahang untuk urusan pengkebumian pada petang ini.

Usaha Kosmo! Online mendapatkan maklum balas Atai masih belum berhasil apabila panggilan tidak berjawab. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok