‘Jangan risau, Amir Ahnaf hanya rakan seindustri’

SAYA dan Amir hanya rakan seindustri sahaja.”

DEMIKIAN penjelasan anggota kumpulan Dolla, Angel yang menegaskan pelakon Amir Ahnaf hanya rakan seperjuangan dalam arena seni sekali gus meredakan keresahan pengikut setianya.

Angel atau nama sebenarnya, Angelina Chai Ka Ying, 23, berkata, mereka tiada sebarang hubungan istimewa bahkan dia tidak pernah keluar bersama pelakon itu.

“iDollas (kelab peminat Dolla) yang disayangi, minta maaf sebab lambat mengeluarkan kenyataan, saya harap kalian sihat.

Amir dan saya saling menyokong antara satu sama lain dengan pencapaian kerjaya masing-masing.

“Tetapi kami berdua tidak pernah keluar lepak bersama, jadi saya harap kalian jangan risau,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Dalam hantaran sama, Angel turut memohon maaf kepada peminat yang risau dengan keadaannya selain memaklumkan dia hanya mahu fokus mengembangkan kerjaya seni dan membanggakan negara.

Saya akan terus bekerja keras untuk melakukan yang terbaik dalam kerjaya dan membanggakan nama Malaysia.

“Saya minta maaf kalau ada apa-apa yang saya buat salah,” kongsinya.

Terdahulu, nama Amir ‘panas’ dalam media sosial selepas tular foto mesranya bersama seorang wanita.

Wanita terbabit mendakwa Amir telah meninggalkannya selepas setahun mereka bersama.

Susulan itu, netizen telah mengaitkan nama Angel apabila didakwa sedang berkawan rapat dengan Amir.

Hal itu telah menimbulkan rasa kurang senang peminat Angel yang bimbang sekiranya dia diserang dan dipersalahkan dalam isu terbabit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok