TULAR gambar Allahyarham Nidza Afham yang ditemui berhampiran Sungai Klang, penyanyi Aufahanie memohon orang ramai agar tidak menyebarkan foto tersebut demi menjaga sensitiviti keluarganya.
Aufahanie atau nama lengkapnya Nur Aufahanie Mokhtar, 21, turut berharap sesiapa yang sudah memuat naik gambar tersebut dalam media sosial atau mana-mana platform dapat memadamkan hantaran berkenaan.
Tolong jangan kongsikan ambar arwah abang saya yang ditemui di Sungai Klang dalam media sosial anda.
“Sila turunkan, hormati perasaan kami sekeluarga. Terima kasih,” katanya dalam InstaStory.
Terdahulu, Nidza Afham, 23, yang juga bekas peserta I Can See Your Voice 3 dilaporkan hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam kelmarin.
Begitupun, dompet dan telefonnya ditemui di Jambatan Sungai Klang, membuatkan keluarga mengajukan laporan polis tengah malam kelmarin.
Pelantun lagu Saat Hilang Cintamu itu turut berkongsi tangkap layar kronologi kehilangan abangnya yang hanya membalas mesej keluarga pada kali terakhir pukul 9.04 malam sebelum hilang.
Petang semalam, Polis Selangor mengesahkan menemui mayat seorang lelaki sekitar jambatan Sungai Klang yang kemudian disahkan sebagai Nidza Afham.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan mayat tersebut dijumpai sekitar 7 malam kira-kira 1 kilometer dari lokasi Nidza dilaporkan hilang.
Jenazah kini berada di Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat yang dijangka dapat diselesaikan petang ini. – HIBGLAM