PERALIHAN status daripada isteri orang menjadi ibu tunggal menghadirkan dimensi baharu buat pemilik nama Wan Mawar Shaputri Wan Abd. Rashid dalam meneruskan kelangsungan hidup, terutama menjaga amanah tiga cahaya matanya.
Biar berbahagi waktu dengan bekas suami dan tidak sendirian dalam soal membesarkan anak-anak, sebagai ibu anak-anak adalah ‘acara wajib’ dalam rutin harian Mawar.
Hanya pada hujung minggu, anak-anak akan menghabiskan masa dengan bapa mereka, Raf Yaakob.
Kata Mawar, biarpun rumah tangganya dengan Raf sudah bernoktah, namun itu bukan penghalang mereka sama-sama dalam menjaga kebajikan anak-anak.
Baginya penting mereka harus bersama-sama membesarkan anak-anak dalam persekitaran sihat meskipun dia dan Raf tidak lagi sebumbung.
“Saya tidak mahu anak tersisih kerana perpisahan (perceraian). Fokus saya, memberikan persekitaran yang baik dan sihat buat anak-anak kerana tidak mahu mereka berasa kekurangan kasih sayang.
“Membesarkan anak ini bukan perkara mudah kerana hal itu bergantung kepada diri kita. Jika berasa perkara itu sukar, maka tanggungjawab itu akan berasa berat dan sukar untuk dibuat,” katanya.
Bercakap tentang anak-anak, nada suara Mawar seperti ditahan-tahan. Air mukanya jelas menggambarkan betapa berharga anak-anak dalam hidupnya.
Demi anak-anak juga, finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu perlu berfikiran positif dan memastikan kesihatan mentalnya sentiasa dalam situasi terbaik.
Sedar adakalanya dia begitu rapuh, Mawar akui ada waktu perasaannya bercampur-campur antara, sedih, gembira dan kecewa lebih-lebih lagi saat memikirkan soal kemelut rumah tangganya sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya okey. Bertambah baik daripada sebelum ini kerana kalau dahulu saya rasa hendak pengsan apabila melihat banyak kamera.
“Sejujurnya saya baik. Biasalah manusia kita akan berasa sedih dan kita akan rasa gembira.
“Sejujurnya saya sangat baik, cuma perlu melalui fasa sedih sahaja,” katanya.
Mawar juga tidak menafikan ada membuat pemeriksaan dengan pakar perubahan tentang tahap kesihatan mental dan emosinya.
“Biasalah sebagai manusia biasa, saya akan berasa tertekan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak kena dalam hidup.
“Saya juga ada membuat pemeriksaan dengan doktor kerana ingin tahu tentang tahap kesihatan saya. Adakah saya mengalami kemurungan atau bagaimana.
“Tetapi doktor mengatakan saya berada dalam keadaan baik. Namun, selebihnya cukuplah sekadar saya sahaja yang tahu.
“Tetapi apa yang boleh saya katakan keadaan mental dan fizikal saya berada dalam baik-baik,” ujarnya.
Bukan sahaja ketenangan minda, Mawar juga harus peka terhadap tubub badan. Selaku tulang belakang keluarga, Mawar perlu fokus agar dapat mencari rezeki sekali gus memberi tumpuan terhadap lakonan.
“Kalau sihat secara mental dan fizikal, saya boleh beri tumpuan kepada anak-anak, jadi sebab itu saya lebih fokus terhadap penjagaan diri, mental dan emosi.
“Kalau boleh, saya tidak mahu fikir langsung tentang masalah atau berfikiran negatif. Sekiranya tidak sihat, sukar untuk beri tumpuan kepada kerjaya, keluarga dan perniagaan,” terangnya.
Kesibukan menjadi ketua keluarga menyebakkan Mawar tiada masa untuk memikirkan soal mencari pengganti atau mahu berumah tangga sekali lagi.
Selepas bercerai pada November 2023, Mawar tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi. Dalam kepalanya, hanya soal anak-anak yang mengisi rencana hari muka.
“Saya tidak berfikir soal jodoh kerana fokus saya lebih kepada menjaga anak-anak. Namun, saya juga takut untuk bercakap tentang jodoh. lebih baik serahkan segalanya kepada Tuhan,” ujarnya. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.