DEMI membantu wira dan wirawati negara, Jabatan Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Yayasan Veteran ATM sentiasa bersedia menghulurkan sokongan dengan pelbagai cara.
Antaranya adalah menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang yang bakal berlangsung di Dewan Perkasa Wisma Perwira pada 24 September ini, pukul 8 malam.
Objektif penganjuran acara berkenaan masih sama seperti tahun-tahun terdahulu iaitu mengumpul dana dan menyampaikan sumbangan kepada penerima yang dihangatkan persembahan artis.
Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Zambery Jefry Darus berkata, penganjuran majlis makan malam sebegitu diharapkan dapat menarik lebih ramai menyumbang untuk tabung veteran ATM.
“Tidak kisah mereka beli meja ataupun menyumbang terus, kami harap majlis makan amal ini meraih sokongan, bahkan JHEV sudah merangka beberapa acara bagi mengisi Tabung Hari Pahlawan 2024.
Kami berbesar hati jika ada individu dan syarikat korporat dapat bersama-sama membantu veteran ATM. Hasil kutipan akan digunakan bagi membantu veteran ATM tidak berpencen dan uzur.
“Ini meliputi keperluan kebajikan seperti lampin pakai buang dan susu warga emas.
Jadi, kami bertungkus-lumus buat apa sahaja kempen Tabung Pahlawan di seluruh negara,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran kutipan, Zambery menjangka mampu mengutip sebanyak RM2 juta sumbangan melalui penganjuran majlis makan malam amal berkenaan.
“Sudah pasti kami sasarkan jumlah tertentu mengikut kapasiti ataupun aktiviti yang dilaksanakan seperti larisan amal.
“Jadi, bagi malam amal tersebut kami sasarkan sumbangan diterima lebih kurang RM2 juta. Sebenarnya memang tidak cukup untuk keseluruhan bagi menampung keperluan kebajikan kepada veteran.
“Namun, sasaran yang ditetapkan diharap boleh membantu meringankan beban mereka,” ujarnya selepas sidang media di Wisma ATM di ibu negara baru-baru ini.
Untuk tahun ini, Makan Makan Amal Meraikan Bintang akan diserikan dengan persembahan nyanyian istimewa daripada Liza Hanim dan Datuk Jamal Abdillah yang akan menghiburkan sekitar 700 tetamu.
Kongsi Zambery, pemilihan Jamal dan Liza sangat tepat memandangkan prestasi dan pengaruh cemerlang dua penyanyi sepanjang berpuluh tahun dalam arena hiburan.
“Kami tak ragu-ragu dengan pemilihan ini. Datuk Jamal cukup dikenali ramai selain vokal emasnya mampu menarik penonton.
Liza pula merupakan seorang penyanyi berkredibiliti serta mempunyai rangkaian lagu popular.
“Tetamu juga pasti tak sabar mahu melihat mereka beraksi,” tuturnya.
Sementara itu, Liza juga meluahkan keterujaannya apabila turut dipilih sebagai penyeri majlis makan malam berkenaan.
Kata Liza, sudah menjadi impiannya selama ini untuk menyumbang semula kepada masyarakat lebih-lebih lagi bagi tujuan amal membabitkan bekas anggota ATM.
“Acara ini bukan hiburan semata-mata, sebaliknya usaha memberi semula kepada masyarakat, terutama golongan veteran ATM yang banyak berjasa kepada negara.
Apalah sangat sumbangan saya ini jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang mereka lakukan demi kemerdekaan yang kita nikmati hari ini. Kebetulan majlis itu juga diadakan selepas sambutan Hari Malaysia.
“Secara tidak langsung, acara begini boleh membangkitkan semangat patriotik dalam diri,” katanya. – HIBGLAM