[VIDEO] Jaga batas pergaulan, pakaian di festival muzik – Zainal Abidin

BATAS-BATAS yang digariskan agama perlu dititikberatkan dalam penganjuran festival muzik di Malaysia.

Itu pendirian penghibur terkenal Datuk Zainal Abidin mengenai penganjuran festival muzik.

Menurut Zainal atau nama lengkapnya Zainal Abidin Mohamad, 65, batas agama seperti pergaulan lelaki dan perempuan serta etika berpakaian harus dijaga agar tidak melampaui batas.

“Sebenarnya, penganjuran festival muzik sebegini terbaik untuk industri. Tetapi, landasan agama harus praktikkan di mana kita tak boleh melanggar landasan yang ditetapkan.

“Negara kita adalah negara Islam (agama rasmi), pergaulan antara lelaki dan perempuan, cara berpakaian, kata-kata yang dikeluarkan ketika di atas pentas, haruslah ditapis dan diperbaiki untuk mereka yang menonton.

“Dalam berhibur, kena ingat batasan agama sebab kita orang Islam. Batasan-batasan syariah itu harus dipraktikkan,” katanya ketika ditemui di sidang media Hausboom Music Festival 2024.

Tambah Zainal, ini menjadi tanggungjawabnya kerana sebagai penghibur beragama Islam yang akan turut disoal di akhirat kelak.

“Ini tanggungjawab kita sebab kita nak kena jawab juga di akhirat nanti. Lelaki perempuan berpelukan sesama bukan mahram, saya yang menyanyi, saya yang menggalakkan, saya bertanggungjawab nanti. Saya harap, penganjur akan peka mengenai perkara ini.

“Ada banyak artis baharu yang saya tak kenal. Dari segi pemakaian, kadang sakit mata juga. Mungkin tak salah bagi mereka, tapi salah daripada sudut agama kita. Itu harus diperbetulkan agar tidak keterlaluan,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pembabitannya dalam Hausboom Music Festival, pelantun lagu Hijau itu mengakui dia adalah penyanyi paling berusia yang akan beraksi pada 5 dan 6 Oktober depan.

“Ini adalah kali pertama saya terlibat dengan festival Hausboom. Saya paling tua. Kebanyakan artis yang terlibat adalah artis muda.

“Tetapi saya punya kelebihan yang mungkin artis-artis muda ini tak ada iaitu saya mampu menyanyikan 45 lagu dalam masa tiga jam setengah.

“Pada acara itu nanti saya akan menyanyikan lima lagu. Seleksi yang dipilih boleh dinyanyikan bersama semua penonton seperti Puteri, Ikhlas dan Hijau,” kongsinya.

Selain Zainal, 31 artis lain akan turut menghangatkan pentas festival itu antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Wings, Ruffedge, Masdo, Iqbal M, Joe Flizzow, Luqman Podolski, Dolla, No Good, Orkes A Hizadin, Akim & The Majistret, Amir Masdi, Exist, АСАВ, Ruffedge, Skudap Skudip, Armpunk Syndicate, Jemson, Airliftz, Yaph, Bunkface dan Senario.

Bakal berlangsung di KL Base Kuala Lumpur, Hausboom Music Festival 2024 turut menggabungkan elemen fesyen dan makanan sebagai sebahagian daripada acara tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok