Insentif potongan cukai FFM33 sehingga RM5 juta

PENGANJURAN Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) kembali selepas setahun direhatkan.

Acara penuh berprestij itu bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada 7 Disember depan. 

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menitikberatkan karya tempatan berkualiti sekali gus bersesuai untuk menembusi pasaran eksport dan menjadikan industri filem sebagai nadi ekonomi kreatif dan budaya negara. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja berbentuk hiburan, tetapi menyerlahkan diplomasi budaya yang memperkenalkan Malaysia kepada dunia.

“Evolusi sinema Malaysia yang berjaya mencatat kejayaan kutipan pecah panggung merupakan transformasi yang signifikan dalam nilai produksi, pengukuhan bakat, dan pembangunan ekosistem yang semakin bertaraf global,” katanya pada sidang akhbar FFM33, baru-baru ini.

Tambah Azmir, Finas turut mengekalkan logo rasmi FFM yang pernah digunakan pada dua edisi terdahulu. Logo berbentuk gulungan filem itu menjadi simbol kebanggaan industri perfileman negara selain dipatenkan pada trofi pemenang nanti. 

FFM sudah lama menjadi penanda aras terhadap kualiti perfileman negara. Oleh itu, Finas mengekalkan logo rasmi FFM untuk kali ini sebagai ikon rasmi festival dan mengekalkan trofi yang sama seperti yang pernah pernah digunakan dalam penganjuran terdahulu. 

“Setiap simbol itu melambangkan kesinambungan dan aspirasi kita untuk terus maju ke hadapan, mencipta sejarah dan mencatat kejayaan baharu dalam perfileman Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Finas yang kini dalam usaha untuk mendapatkan penaja akan memberikan potongan cukai ke atas penajaan terkumpul bagi menjayakan festival tersebut.

“Finas ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atas sokongan yang diberikan bagi menjayakan acara ini menerusi insentif potongan cukai sehingga RM5 juta. 

“Usaha ini secara tidak langsung dapat menarik minat penaja dan penyumbang terhadap penganjuran festival kali ini,” katanya.

Lebih 100 filem yang diterbitkan dari 1 Oktober 2022 hingga 30 Jun 2024 akan dipertandingkan melibatkan 30 kategori. 

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching sebelum ini turut hadir pada sidang media pertama FFM33.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok