“MUNGKIN saya bekerja dengan hati yang ikhlas.”
Demikian prinsip dipegang pelakon jelita Anna Jobling yang bersyukur namanya tidak tenggelam seperti segelintir selebriti lain selepas memenangi pelbagai anugerah sebelum ini.
Berbeza situasi dengan beberapa selebriti lain, Anna, 24, berkata, rezeki dan tawaran lakonan semakin lebat selepas berjaya merangkul trofi sejak beberapa tahun lalu.
Alhamdulillah rezeki semakin murah selepas menang anugerah dan pengarah atau penerbit tidak pula takut nak ambil saya berlakon.
“Selain ikhlas, saya juga tidak pernah menyusahkan mana-mana pihak sepanjang bekerja, mudahkan kerja orang lain dan mungkin itu antara salah satu faktor,” katanya kepadaHibGlam baru-baru ini.
Ujar pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling itu lagi, selain kualiti lakonan, dia sangat menitikberatkan disiplin diri sepanjang berada di set penggambaran.
“Saya memang elak nama tercemar di lokasi penggambaran termasuk tak mahu digelar diva atau sombong.
Kalau boleh mahu semua orang boleh komunikasi dengan saya kalau ada perkara yang tak selesa.
“Disiplin diri salah satu perkara yang saya utamakan ketika bekerja selain banyak menimba ilmu daripada rakan selebriti lain,” kata bintang drama rantaian Melur Untuk Firdaus itu lagi.
Katanya, dia juga tiada masa untuk melakukan perkara tidak berfaedah di lokasi penggambaran sebaliknya memilih untuk tidur bagi merehatkan diri.
Hidup saya kalau di set penggambaran, kalau bukan berlakon pasti akan tidur sebab penat dan bosan menunggu.
“Saya boleh tidur di mana-mana sahaja,” selorohnya.
Sebelum ini, pelakon Haneesya Hanee pernah mendedahkan tidak menerima sebarang tawaran lakonan selepas memenangi trofi Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-32 pada tahun 2019.
Situasi berbeza dilalui Anna yang rezekinya semakin mencurah-curah selepas menang beberapa anugerah termasuklah Aktres TV Popular pada Anugerah Bintang popular ke-35 (ABP35) tahun lalu. – HIBGLAM