MESKIPUN tidak lagi terpalit kontroversi, pelakon Sophia Albarakbah mendedahkan dia masih lagi menjadi mangsa buli segelintir netizen dalam media sosial.
Menurut Sophia, 31, dia tidak dapat mengenal pasti punca perkara itu berlaku dan tercari-cari silap diri.
“Sampai sekarang saya masih dibuli dalam media sosial, tidak kiralah buat salah ke tidak, orang tetap lempar kata-kata negatif tanpa saya tahu apa sebabnya.
Mungkin saya nampak kuat dari luaran tetapi sebenarnya tidak. Saya sudah lalui macam-macam dan sehingga kini masih berusaha supaya perkara itu tidak beri kesan pada diri terutama kesihatan mental.
“Tipulah kalau kata tidak terkesan tapi sentiasa cuba untuk tidak buat perkara yang tidak sepatutnya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tambah bintang filem Miimaland itu, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang tidak henti membulinya dalam media sosial.
“Sebenarnya semua komen itu melampau tetapi saya belum lagi ambil tindakan.
“Namun, kalau masih berterusan saya akan buat laporan bagi menghentikan semua ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia turut menitip pesanan agar netizen ada rasa empati sebelum memberi sebarang komen terhadap mana-mana individu dalam media sosial.
Ujarnya, setiap perkataan negatif yang dilemparkan akan memberi kesan yang buruk kepada emosi dan mental seseorang.
“Saya tak tahu kenapa ada netizen yang berani bertindak begitu (tulis komen negatif). Apa pun alasan harap mereka hentikannya kerana perkara itu tidak baik pun.
“Buli bukan perkara remeh kerana mampu membawa kepada sesuatu yang lebih serius terutama terhadap kesihatan mental dan kestabilan emosi seseorang.
“Kalau mental tak kuat, memang akan beri kesan yang buruk. Boleh jadi akan tertekan dan bunuh diri,” jelasnya yang bertemu pakar terapi bagi menangani kemurungan selepas teruk dikecam.
Sebelum ini, nama Sophia menjadi bualan ramai apabila terpalit dakwaan menjalin hubungan istimewa dengan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz. – HIBGLAM