BAGAIKAN mimpi, pelakon Fad Anuar menerima mesej langsung (DM) daripada aktor filem terkenal Bad Boys: Ride Or Die, Dennis Greene Mcdonald yang mahu mempelajari seni pertahanan diri.
Menurut Fad, 35, Dennis tertarik dengan aksi pertarungan yang dilakonkannya sebelum ini sehingga berminat mengaplikasikan seni silat dalam projek terbaharu aktor itu.
“Saya dapat DM daripada Dennis sekitar dua atau tiga minggu lalu. Mula-mula dia ikuti Instagram saya dan mesej minta saya melatihnya untuk sebuah projek.
“Saya terkejut sebab saya tak ‘follow’ dia sebelum ini. Saya tanya macam mana dia boleh jumpa Instagram saya.
“Dia mengakui mencari seseorang yang mahir dengan seni pertahanan diri. Waktu itu saya baru selesai penggambaran filem Geran dan mungkin saya letakkan tanda pagar silat dalam IG, jadi dari situ dia terjumpa video saya,” katanya kepada HibGlam pada acara tayangan perdana filem Pungut, semalam.
Dalam masa sama, Fad turut memberitahu Dennis bahawa dia akan menjadi pelakon lelaki berkulit gelap pertama yang mengangkat seni silat yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu ke mata dunia.
“Dia ingat saya berada di New York jadi dia ajak berlatih bersama-sama tetapi saya maklumkan yang saya di Malaysia.
“Jadi dia tanya bila boleh mula berlatih dan mahu tahu seni petahanan diri yang boleh dia belajar untuk projek terbaharunya.
“Saya terus cadangkan dia belajar bersilat sebab kalau dia berjaya buat, dia akan jadi pelakon berkulit gelap pertama di dunia yang melakukan seni pertahanan diri itu,” ujarnya lagi.
Sambung Fad, aktor Hollywood itu mahu berbincang dengan pihak pengurusan mengenai cadangan Fad sebelum masuk ke set penggambaran.
“Dia bersetuju dengan cadangan saya cuma perlu berbincang dahulu dengan pengurusnya dan agak sibuk dengan beberapa hal di sana.
“Kalau ada rezeki, bolehlah saya melatihnya nanti. Saya sanggup terbang ke sana, mana tahu dapat berlakon satu dua babak. Berangankan percuma,” ujaranya.
Fad juga mengakui rasa berbesar hati apabila orang luar nampak seni silat boleh diketengahkan ke Hollywood.
“Saya berasa sangat terharu sebenarnya sebab orang luar nampak dan menghargai bakat saya.
“Malah, saya juga teruja sebab orang luar berminat nak tahu mengenai adat dan budaya kita sedangkan orang kita kebanyakannya enggan ambil kisah,” tuturnya. – HIBGLAM