SELEPAS pandemik Covid-19 reda, ramai selebriti berlumba-lumba merealisasikan konsert bagi memenuhi permintaan peminat setelah sekian lama berehat.
Memahami penantian panjang pemuja mereka, bintang K-pop sanggup melakukan gerak tari yang sukar semata-mata mahu memastikan khayalak berpuas hati dan pulang dengan senyuman manis selepas menonton persembahan mereka.
Bagaimanapun, ada antara mereka yang berdepan masalah kesihatan sehingga pitam dan sesak nafas di atas pentas.
Kali ini, Daebak menyenaraikan beberapa artis yang berani beraksi lincah ketika persembahan meski terpaksa menahan kesakitan berikutan masalah kesihatan.
Hyuna
Peminat sedia maklum anggota Wonder Girls, Hyuna terpaksa meninggalkan kumpulan popular itu atas desakan orang tuanya.
Keputusan itu terpaksa diambil kerana Hyuna atau Kim Hyun-ah menderita penyakit Vasovagal syncope yang boleh menyebabkannya kerap pengsan.
Penyakit itu boleh membuatkan seseorang itu tidak sedarkan diri dan mengalami tekanan emosi melampau.
Menurut laporan media Korea, Hyuna pernah rebah beberapa kali di set pada 2019 semasa menjalani penggambaran video muzik.
V
Dengan gerak tari yang memukau, siapa sangka penyanyi V ada masalah kulit yang teruk sehingga mengganggu persembahannya.
Pada 2019, anggota kumpulan BTS itu mengakui menderita urtikaria kolinergik iaitu alahan yang menyebabkan benjolan merah kecil pada kulit dan sangat gatal.
Dengan rutin tarian yang padat dan selalu berada di bawah limpahan lampu panas, pemilik nama lengkap Kim Tae-hyung itu sentiasa mengalami ruam dan tiada penawar bagi penyakit itu.
Wonwoo
Semasa perjumpaan peminat kumpulan Seventeen pada 2016, penyanyi Wonwoo tidak muncul pada acara tersebut.
Pihak agensi, Pledis Entertainment kemudian mengeluarkan kenyataan pemilik nama lengkap Jeon Won-woo itu mengalami gastrik yang kronik.
Syarikat tersebut turut memaklumkan Wonwoo tidak boleh meneruskan promosi kerana hilang stamina dan perlu berehat.
Penyanyi berusia 28 tahun itu juga dilaporkan tidak menyertai sebarang aktiviti Seventeen selepas itu termasuk perjumpaan dengan peminat, dan juga Dream Concert pada 2016.
Krystal Jung
Mengejutkan! Penyanyi Krystal Jung pernah pengsan lebih daripada sekali di atas pentas.
Malah, terdapat video kompilasi yang tular dalam YouTube menunjukkan pemilik nama lengkap Crystal Soo-jung itu pitam.
Pada mulanya peminat menyangkakan Krystal keletihan kerana terlalu kuat bekerja tetapi penyanyi berusia 30 tahun itu mendedahkan dia mengalami anemia sejak kecil.
Kekurangan sel darah merah yang sihat dalam tubuh menyebabkan idola itu mengalami gejala seperti keletihan, lemah dan pening.
Gara-gara beberapa kali pengsan atas pentas, peminat mula meletakkan tanda pagar ‘Get Well Soon Soojung’ dalam aplikasi Twitter (kini dikenali sebagai X).
Zico
Biarpun boleh melontarkan kata-kata tanpa henti dengan laju, siapa sangka penyanyi rap terkenal Zico menderita penyakit asma.
Situasi tersebut berpunca daripada masalah jantung ketika kecil yang menuntutnya menjalani dua pembedahan.
Meskipun penyanyi kumpulan Block B itu tidak nampak sesak nafas semasa beraksi di atas pentas, dia berada dalam kategori gred empat semasa pemeriksaan fizikal ketika mendaftar diri dalam perkhidmatan ketenteraan.
Gred keempat menandakan kesihatannya tidak begitu baik dan hanya perlu menjadi pekerja perkhidmatan awam semasa latihan ketenteraan berikutan sejarah penyakitnya. – HIBGLAM