‘Harap jenazah Nidza tiada kecederaan, tidak terseksa’

HARAP keputusan bedah siasat baik-baik sahaja.”

Itu harapan yang disuarakan kakak kepada Allahyarham Nidza Afham iaitu Irfahanie yang kini menanti keputusan bedah siasat adiknya yang ditemui berhampiran jambatan Sungai Klang, Klang semalam.

Menurut Irfa, sehingga kini pihak keluarga tidak mengetahui keadaan sebenar jenazah Allahyarham Nidza sama ada dalam keadaan sempurna atau mempunyai sebarang kecederaan.

“Kami harap yang baik-baik sebab tak tahu bagaimana keadaan sebenar jenazah.

“Ada kecederaan atau tidak, kami memang tak tahu. Memang saya harap yang baik-baik dan semoga jenazah tidak terseksa,” katanya kepada HibGlam di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, abang ipar Allahyarham, Muhammad Effie Amron, 34, gagal menahan sebak apabila berkongsi momen ketika melakukan proses pengecaman di lokasi penemuan mayat Sungai Klang semalam.

“Saya ada ketika membuat pengecaman mayat semalam sekitar pukul 8 malam.

“Saya yakin itu Nidza berdasarkan wajah dan pakaiannya,” ujarnya.

Sehingga kini, proses bedah siasat jenazah Nidza masih berjalan di Unit Perubatan Forensik di sini.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat seorang lelaki ditemui sekitar Jambatan Sungai Klang adalah Nidza Afham, 23, yang dilaporkan hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, kelmarin.

Pengesahan itu dibuat menerusi baju bernombor 56 yang dipakai ketika mayat itu ditemui. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok