Hanya gimik lagu, Gabriel Prince masih solo

PENYANYI dan pelakon kelahiran Indonesia, Gabriel Prince, 20, teruja apabila single baharunya berjudul Sunday mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat di Malaysia.

Katanya, lagu dihasilkan daripada kejadian sebenar yang berlaku pada dirinya itu menjadi inspirasi buat komposer, Kaleb J bersama dirinya melunaskan karya terbabit.

“Selepas pertama kali bertemu, kami dapat berbincang dan saling bertukar pandangan untuk menghasilkan lagu ini.

Kerjasama ini juga merupakan pengalaman pertama kali saya terlibat dalam pembikinan lagu sepenuhnya. Bermula dengan bertukar-tukar cerita untuk mendapatkan idea.

“Menariknya ketika lagu ini masih belum mempunyai tajuk, Kaleb terlebih dahulu memberikan judul lagu tersebut (Sunday) dan terus terang saya sangat menyukainya,” katanya.

Mengulas mengenai lagu itu, Prince yang juga aktif sebagai pelakon mengatakan, dia teruja apabila diberi kesempatan untuk bergandingan dengan Nicole Parham dalam filem pendek bertajuk Sunday.

Filem pendek tersebut memberikan gambaran visual mengenai hubungan Prince dengan kenalan wanitanya yang menyimpan perasaan terhadapnya.

Gabriel Prince kini meledak dengan single baharu berjudul Sunday. – SYAKIR RADIN

Namun, demi menjaga hubungan persahabatan, Prince memilih untuk menolak cinta daripada teman baiknya itu.

Kami masih berhubung dan saya dan persahabatan kami berjalan seperti biasa. Malah, kami juga saling berhubung antara satu sama lain bagi bertanyakan khabar.

“Pemilihan Nicole Parham untuk memegang peranan sebagai pelakon wanita itu kerana dia dilihat sesuai untuk membawakan watak sebagai sahabat saya dalam filem pendek itu,” ujarnya.

Prince juga memberitahu, akaun Instagramnya dipenuhi dengan luahan perasaan terkejut daripada peminat kerana menyangka dia sudah berkahwin kerana memuat naik gambar mengenakan baju pengantin bersama seorang wanita.

“Peminat terkejut selepas melihat gambar kahwin saya itu. Ramai yang menyangka bahawa saya benar-benar sudah berkahwin.

“Segelintirnya ada yang kecewa dan ada juga yang mengatakan masih terlalu muda. Kemudian selepas lagu itu dilancarkan, saya menjelaskan kepada mereka bahawa ini merupakan sebahagian daripada promosi lagu Sunday,” ujarnya.

Filem pendek arahan George Timothy itu kini boleh ditonton menerusi YouTube, Gabriel Prince Official Channel. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok