[VIDEO] Hafiz Suip nafi kurus sebab hisap ‘batu’

“SAYA kurus bukan sebab hisap batu atau dadah.”

Demikian kata penyanyi Hafiz Suip apabila disoal tentang perubahan fizikalnya yang semakin kurus sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu, berkata, tubuhnya semakin kurus kerana dia menjaga kesihatan dan kerap ke gimnasium.

“Saya tidak ambil apa yang orang tuduh saya ambil (dadah). Saya jaga kesihatan dengan pergi gim dan masuk kelas kick boxing sejak dua bulan lepas sebab itu saya kurus,” ujar Hafiz.

Selain itu akui Hafiz, tubuhnya semakin kurus juga disebabkan masalah tulang belakang atau slip disc yang dialami sejak 2016.

“Saya tidak melakukan pembedahan. Saya mula alami masalah slip ketika berusia 25 tahun masih muda, jadi doktor tidak mengalakkan untuk saya lakukan pembedahan.

“Slip disc tidak akan sembuh tetapi boleh dikurangkan simptom atau rasa sakit dengan jaga kesihatan.

“Oleh itu, doktor meminta saya menjaga makan dan berat badan selain bersenam untuk menguatkan otot pada bahagian belakang badan,” jelas Hafiz.

Meskipun masalah slip disc yang dialami tidak menjejaskan vokalnya, namun kata Hafiz situasi itu membataskan pergerakannya.

“Sebelum ini saya ada mendapat jemputan untuk menyertai program The Hardest Singing Show tetapi terus terang saya memang tidak boleh lakukan kerana masalah slip disc.

“Tidak mungkin saya mahu cederakan diri sendiri kerana mahu mencari wang. Banyak lagi cara lain dan saya percaya akan ada rezeki lain untuk saya,” tutur Hafiz yang ditemui usai melakukan persembahan di Konsert ByAjai & Mega Friends malam tadi. –  HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok