Gimik Tom Cruise tutup Olimpik Paris ‘menjadi’

BAGAI aksi di dalam filem, bintang Hollywood Tom Cruise menutup Sukan Olimpik Paris 2024 dengan penuh bergaya apabila ‘terjun’ dari bumbung Stade de France sebelum mendarat di pentas stadium terbabit.

Pada majlis penutupan rasmi temasya sukan dunia pagi tadi (waktu tempatan), pelakon filem Jack Reacher itu ditugaskan membawa bendera untuk diserahkan kepada wakil tuan rumah Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Biarpun berisiko, Cruise sememangnya dikenali sebagai aktor yang suka melakukan ‘stunt’ sendiri, sekali gus terbang dari aras tinggi bukan masalah baginya.

Sebelum itu satu video gimik menunjukkan lelaki berusia 62 tahun itu menaiki motosikal yang ditunggang laju melepaskan Eiffel Tower terus ke sebuah pesawat.

“Saya dalam perjalanan,” katanya sambil mengenakan kelengkapan skidiving dengan berlatarkan lagu By the Way nyanyian Red Hot Chili Pepper.

Cruise kemudian melompat dari kapal terbang menuju ke mercu tanda ikonik Hollywood sebelum menukar huruf O kepada bulatan Olimpik sebelum menyerahkan bendera kepada wakil Amerika Syarikat selaku tuan rumah musim 2028.

Sorakan gemuruh bergema di Stade de France sebaik fokus lampu sorot dan kamera dihalakan ke Cruise yang sudah sedia untuk terjun, seterusnya gus melaksanakan aksi yang menjadi sebutan ramai itu.

Hakikatnya, aktor terbabit juga antara penyokong Sukan Olimpik musim ini apabila memberikan sokongan terhadap beberapa acara termasuk renang pada 27 Julai lalu disusuli Gimnastik keesokan harinya selain bola sepak wanita akhir pada 10 Ogos lalu.

Sementara itu, selepas 16 hari menghidangkan aksi penuh memukau, Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirainya.

Lebih 10,500 atlet daripada 205 delegasi berkumpul di stadium terbesar negara itu, manakala obor Olimpik yang dibawa perenang, Leon Marchand, sekali lagi menjulang di City of Light.

Dalam upacara penutup selama empat jam penonton dihiburkan dengan persembahan Billie Eilish, Snoop Dogg dan Dr. Dre secara langsung dari Pantai Venice.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach mengisytiharkan temasya itu berakhir secara rasmi dengan penyanyi Perancis, Yseult, mempersembahkan lagu My Way.

Acara penutup diakhiri percikan bunga api mega yang menyinari langit sekitar Stadium Stade de France. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok