GELARAN primadona filem Melayu alaf baharu yang disandangnya ketika ini membuatkan nama Erra Fazira seringkali disebut-sebut netizen sebagai anak seni yang layak menerima gelaran Datuk.
Namun sehingga kini, belum rezeki Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 50, untuk menerima gelaran tersebut.
Menurut Erra, dia tidak pernah ambil pusing mengenai perkara ini namun terharu ada peminat yang menganggap dirinya layak untuk mendapat pengiktirafan yang diberikan oleh Sultan mahupun Yang di-Pertua Negeri itu.
“Saya tidak ambil pusing tentang perkara ini. Saya bukanlah orang yang tepat untuk komen tentang isu ini kerana ini bukan bidang saya.
“Bagi saya ada ramai lagi selebriti senior lebih layak dapat gelaran Datuk kerana jasa dan bakti mereka.
“Kalau ramai yang berpendapat bahawa saya layak dapat gelaran ini, itu adalah pendapat mereka dan saya berterima kasih kerana itu sedikit-sebanyak merupakan satu penghargaan buat saya.
“Biarlah saya tiada gelaran, tetapi apa yang mereka fikir dan rasa untuk saya sangat-sangat bermakna,” katanya ketika ditemui di sidang media program Kilauan Emas, semalam.
Heroin filem Sembilu itu bagaimanapun berkata, dia tidak akan menolak seandainya satu hari nanti namanya terpilih sebagai salah seorang anak seni yang dianugerahkan gelaran Datuk.
“Kalau dapat, saya anggap itu rezeki, Alhamdulillah. Kalau tiada, saya tetap teruskan hidup seperti biasa. Tak perlu nak rasa stres,” ujarnya.
Terbaharu, wajah jelita Erra akan kembali mewarnai kaca televisyen setiap hujung minggu bermula September depan apabila beliau menggalas tugas sebagai juri tetap program Kilauan Emas musim baharu.
Menurut bekas Ratu Cantik Malaysia World 1992 itu, dia teruja untuk kembali menjadi juri selepas tujuh tahun program yang mengangkat bakat warga emas itu direhatkan.
“Saya sangat teruja apabila dipanggil semula untuk jadi juri. Bagi saya program ini lain daripada lain.
“kilauan Emas satu-satunya program yang memberi peluang kepada warga emas mempamerkan bakat mereka.
“Peserta untuk program ini lain dengan program pencarian bakat generasi muda. Mereka ini sudah berpengalaman, ada karakter tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan cara orang lain,” kongsinya.
Menampilkan 12 peserta, Kilauan Emas bakal bersiaran bermula 14 September, setiap Sabtu pukul 9 malam di saluran Astro Prima. – HIBGLAM