Bahagia menyulam cinta dengan kekasih hati, pelakon dan pengarah Ellie Suriaty mengaku sedang menjalin hubungan cinta dengan individu berumur lebih 10 tahun muda daripada dirinya.
Ellie, 53, bagaimanapun memilih untuk merahsiakan identiti lelaki yang berusia hujung 30-an itu.
Katanya, dia sangat terharu meskipun usia menjangkau 50 tahun, namun masih ramai lelaki yang berusaha untuk mendekati dirinya.
“Ada ramai yang ingin berkenalan dengan saya, tetapi mereka itu semua hanya kawan biasa, melainkan dia, kerana dia istimewa pada saya.
Sekarang kami sedang saling mengenali. Sejujurnya jika ada jodoh saya bersedia untuk bergelar isteri semula, tetapi perkara sebegitu lebih baik serahkan kepada Tuhan yang menentukan.
“Siapa orangnya itu biarlah rahsia. Kami saling mengenali sudah lebih setahun dan dia juga orang dalam industri hiburan,” jelasnya.
Ditemui pada pementasan teater Andak Bertandak di Pusat Persembahan Kesenian Kuala Lumpur (KLPAC) semalam, Ellie turut berkata, dia tertarik dengan kesungguhan kekasihnya yang terbuka menerima statusnya sebagai ibu tunggal dengan dua anak.
Tambah Ellie, dia juga gembira menjalani hubungan dengan kekasihnya sekarang di samping mengharapkan keluarga lelaki tersebut dapat menerima dia seadanya.
“Saya kalau boleh tidak mahu bercerita lebih-lebih sebab nanti kalau tidak jadi, malu. Tetapi kalau ada jodoh saya okey saja.
Usia dia lebih muda daripada saya dan dia juga bujang. Bagi saya, apabila dia boleh menerima anak-anak, itu sudah memadai.
“Saya juga kena pastikan keluarga dia boleh terima saya dengan anak-anak atau tidak. Pengalaman berkahwin sebelum ini membuatkan saya faham tentang hubungan dengan sanak saudara,” katanya.
Pelakon filem Spinning Gasing itu turut memberitahu bahawa kekasihnya mengaku lebih tertarik dengan wanita berusia.
“Pada usia begini saya tidak sangka akan menemui cinta lagi. Terus terang saya segan untuk naik pelamin lagi.
Saya ada bertanyakan kepada dia kenapa suka dengan saya, tetapi jawabnya kerana senang bercinta dengan wanita matang. Tetapi pada saya ini bukan satu perkara mudah.
“Orang akan mempersoal mengapa bercinta dengan orang tua. Saya sendiri berasa sukar kerana umur saya 53, bukan 35. Saya bukan tidak mempercayai dia, tetapi saya kurang percaya dengan diri sendiri, adakah mampu untuk menjalani semua ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Ellie atau Ellie Suriaty Omar berkahwin dengan aktor Azri Iskandar pada 2003 dan bercerai pada 17 Mei 2022 selepas 19 tahun usia perkahwinan.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Azrell Omar, 19, dan Nur Azreen, 15.
Dalam perkembangan lain teater Andak Bertandak dipentaskan bermula semalam sehingga 1 September depan di Pentas 2, KLPAC.
Selain Ellie teater tersebut turut dibintangi Aizat Saha, Azhan Rani, Jay Iswazir, Dottie, Riena Diana, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin. – HIBGLAM