SELEPAS berjaya menyelesaikan ijazah sarjana (master) dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada awal tahun ini, penyanyi Sissy Imann merancang untuk menyambung pengajiannya ke peringkat doktor falsafah.
Menurut Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, 29, mengikut perancangan, dia mahu melanjutkan pengajian pada tahun depan di sebuah universiti di luar negara.
“Sebenarnya selepas habis master memang ingin sambung doktor falsafah (PhD) dalam bidang seni persembahan muzik jika ada ruang dan peluang.
Tetapi saya harus melihat perjalanan karier terlebih dahulu jika ingin sambung PhD di luar negara.
“Kemungkinan besar saya harus memperlahankan kerjaya jika ingin fokus pada pelajaran. Biasa ikut kemampuan masing-masing, ada yang boleh selesai PhD dalam tempoh dua tahun ada yang empat tahun. Sama ketika saya sambung master saya memerlukan masa empat tahun,” tutur Sissy yakin dapat membahagikan masa dengan baik.
Tambah Sissy, memburu PhD bukan kerana mahu membuktikan kehebatannya sebaliknya sebagai persediaan untuk menjadi seorang pensyarah.
Bukanlah wajib ada PhD tetapi saya perlu ada perancangan tambahan untuk masa depan. Sampai bila saya boleh menyanyi? Lihat sahaja penyanyi baharu sekarang semuanya lebih hebat dan sangat berbakat.
“Pada masa sekarang saya ingin kutip pengalaman sebanyak mungkin, jadi pada masa depan apabila saya jadi pensyarah orang akan lebih percaya dan yakin dengan ilmu yang saya sampaikan,” tutur Sissy.
Biarpun kini dia aktif sebagai penyanyi, kata Sissy menjadi seorang guru atau pensyarah merupakan cita-cita dan minatnya sementelah memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan dalam bidang Pendidikan Muzik dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.
“Memang saya minat mengajar bahkan saya mula menjadi guru piano sejak berusia 16 tahun lagi.
Bukannya jadi guru atau pensyarah sebab takut tiada kerja, sebaliknya saya memang suka mengajar. Saya nampak, itulah masa depan saya,” kongsi Sissy lagi.
Disebabkan memiliki pendidikan tinggi dalam bidang muzik, genre muzik yang diketengahkan Sissy dilabel terlalu urban dan hanya boleh dinikmati kelompok tertentu.
Mungkin kerana itu, perjalanan karier seninya mengambil masa lebih panjang berbanding rakan seangkatan lain seperti Sarah Suhairi, Afieq Shazwan dan Wani Kayrie.
“Dulu saya nafikan perkara itu tetapi sekarang saya akuinya. Apabila saya belajar muzik kita rasa kita tahu semua benda.
Walhal hakikatnya, saya perlu turunkan ego dan perlu faham setiap orang ada selera masing-masing. Tetapi dalam masa sama saya tidak mahu hilang identiti diri sebagai Sissy Imann dalam muzik.
“Agak lama juga untuk saya sedar perlu tukar sedikit muzik mengikut kehendak peminat tempatan iaitu selepas menyertai program Famili Duo. Jadi, saya perlu mencari titik temu untuk saya dan pendengar muzik selesa,” tutur Sissy.
Oleh kerana itu, Sissy bakal muncul dengan buah tangan terbaharu dengan nama Warga Sayu bersama sepupunya, penyanyi Naim Daniel pada penghujung tahun ini.
Berbeza dengan album solo masing-masing, projek Warga Sayu berkonsep lagu-lagu galau.
Album Warga Sayu memuatkan enam lagu yang ditulis oleh kami berdua. Jika menyanyikan lagu-lagu daripada album ini, kami tidak dikenali sebagai Sissy mahupun Naim sebaliknya duo Warga Sayu.
“Imej itu yang akan diperkenalkan untuk album ini bagi membezakan hala tuju album duo dengan album solo kami,” kata Sissy. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.