Eddie Hamid dedah rahsia ‘poligami’

BARANGKALI hampir semua wanita menyifatkan poligami sebagai satu hukuman dunia yang mencengkam dan menakutkan.

Namun, sekiranya poligami itu berlandaskan niat dan dilaksanakan mengikut syarat betul, nescaya pengamalnya menemui kebahagiaan.

Mengangkat tema itulah, penyanyi juga komposer terkenal Eddie Hamid mengetengahkan mesej terbaik menerusi lagu baharu bertajuk Poligami.

Katanya, walaupun perkataan poligami berbunyi sensitif, tetapi ada mesej yang mahu disampaikan dalam lagu tersebut.

SEPERTI poligami yang melibatkan lebih daripada dua pelaku, single berjudul Poligami nyanyian Eddie pula bukan lagi duet tetapi dipersembahkan secara berempat ‘quartet’ untuk lebih kelainan.

“Ada mesej yang ingin disampaiikan dan jangan pula hanya kerana judulnya Poligami sudah dipangkah lebih awal.

“Saya mohon maaf kepada sesiapa yang berasa kurang selesa dengan lagu ini nanti.

“Saya tahu perkataan poligami cukup sensitif bagi sebilangan besar wanita. Inikan pula lagunya yang bercerita mengenai berkahwin lebih daripada satu.

“Bukan saya nak menggalakkan poligami, tapi saya ingin tekankan bahawa untuk berpoligami, seorang lelaki itu perlu memikul tanggungjawab yang berat dan jangan ingat nak senangkan hati sendiri saja,” katanya.

Lagu itu turut menampilkan Eddie Hamid berduet bersama dengan Man Khan, Aris Kapilla dengan penampilan istimewa pelakon Kamarool Yusoff yang sinonim dengan watak Cik Man MC dari filem Rock Oo!.

Eddie turut meluahkan rasa gembira apabila lagu Poligami yang disampaikan dalam dialek Kelantan itu mendapat sambutan hangat daripada pendengar.

“Saya melihat lagu dialek Kelantan semakin diterima ramai, malah dengan kewujudan pelbagai media sosial lagu sedemikian semakin popular walaupun pendengarnya bukanlah orang Kelantan sendiri.

“Insya-Allah, lagu ini mungkin akan mendapat sambutan seperti lagu Cinta Setandan Pisang nyanyian Eda Ezrin dan Den Manjo,” katanya.

Eddie mengangkat isu sensitif dalam lagu baharunya, Poligami.

Mengulas mengenai rakan duet dalam lagu, Eddie menyifatkan keserasian antara mereka secara tidak langsung memudahkan proses rakaman.

“Saya sudah biasa bekerjasama dengan Man Khan dan Aris Kapilla kerana ada beberapa lagu kami berduet bersama, tetapi dengan Kamarool ini kali pertama.

“Kehadiran Kamarool memberi lebih kelainan kerana dia menyanyi untuk bahagian rap.

“Saya tak ada masalah dengan pembabitan dia.

“Walaupun pertama kali terlibat dalam rakaman lagu, Kamarool amat profesional dan mudah bekerjasama dengan dia,” jelasnya yang menjalani proses rakaman di Nar Studio dan MR Sound Lab. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok