‘Dulu rockers rambut panjang tak boleh, hanya jadi mentimun’

BAGAI dicandu! Begitu gambaran kepuasan khalayak sepanjang konsert Awie Journey 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) pada 3 Ogos lalu.

Seperti orang ketagih, peminat yang menggelarkan diri mereka Sayap Sayap Wings larut dibuai keterujaan sehingga menjerit setiap kali penyanyi Datuk Awie selesai menyampaikan sesebuah lagu.

Membawakan seleksi hampir 40 buat lagu, termasuk yang belum pernah dibawakan secara langsung membuktikan vokal dan energi pemilik nama lengkap Ahmad Azhar Othman itu tiada tolok bandingan.

SELAIN buat pemuzik profesional, Awie turut berterima kasih kepada anggota Wings, iaitu Eddie, Edrie Hashim, Black dan Sham yang sanggup jadi bidan terjun beraksi bersamanya di pentas atas permintaan penonton. – AFIQ RAZALI

Pada usia bakal mencecah angka 55 pada 24 November depan, lontaran suaranya jelas tanpa sedikit pun terkucil walaupun kebanyakan lagu pilihan bernada tinggi.

Dibuka dengan lagu Musibah nyanyian asal Sweet Charity dan Balada Pemuzik Jalanan daripada Search dipilih sebagai pembuka tirai, sekali gus penghormatan buat band seperjuangan.

Peronda Jaket Biru, Biarkan Berlalu dan Bernafas Dalam Lumpur yang juga daripada album kumpulannya Wings pula menyusul, seterusnya membangkit nostalgia.

Tidak perlu mukadimah atau celoteh panjang, repertoire persembahan itu sendiri merupakan kupasan terhadap kanvas pengembaraan seni vokalis Wings itu sejak 1985 hingga sekarang.

3,000 penonton

Tanpa henti, momentum persembahan yang dibahagikan mengikut tahun pembabitan bersama Wings sehingga bergerak solo terus menyuntik adrenalin 3,000 penonton yang memenuhi Dewan Merdeka.

Bayangkan pada umur melebihi separuh abad, tenaga, vokal dan kudrat ikon rock itu melangkaui tenaga penyanyi muda.

Terbukti, kemampuan Awie beraksi bagai tiada lelah menjadi magnet menarik khalayak untuk terus fokus sepanjang tiga jam persembahan.

Konsert ini menghimpunkan 3,000 penonton termasuk yang datang dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. 

Awie juga kelihatan lebih bersemangat sebaik melihat lautan peminat memenuhi dewan berkenaan, terutama mereka yang sanggup terbang dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura khusus untuk menjadi sebahagian daripada sejarah konsert Awie Journey.

Mengakui sambutan ditunjukkan sungguh luar biasa, rancangan menghadiahkan 30 lagu menjadi tersasar, apabila dia memenuhi permintaan khalayak dengan 10 lagu bonus, termasuk beraksi dengan anggota kumpulannya. 

Selain berterima kasih kepada Eddie, Edrie Hashim, Black dan Sham yang duduk di celah penonton, Awie turut menzahirkan penghargaan terhadap Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang hadir memberi sokongan.

Terima kasih atas sambutan luar biasa. Alhamdulillah, semua ini kerana anda menyokong saya. Tahun depan genap 40 tahun perjalanan saya dalam industri, sememangnya ini sesuatu yang luar biasa buat saya,” katanya.

Antara insan penting lain yang disebut pada malam penuh bersejarah itu adalah ibu bapanya. Awie bahkan meluahkan rasa tidak puas berbakti kepada orang tuanya yang sudah pergi dengan menyampaikan lagu Kasihnya Ibu, sekali gus menyuntik kesyahduan.

Seterusnya hit lain yang membuka lembaran kenangan adalah Funky Monyet, Ukiran Jiwa, Ratuku, Dipenjara Janji, Kita Permata, Rock And Roll Ronda-Ronda, Nurnilam Sari, Kau Yang Mula Dulu, Kuda Tiga Kaki, Bersumpah Dengan Langit, Mata Hati Jiwa dan Sayap Ilusi.

Persembahan medley pula membariskan lagu popularnya seperti Cinta Bukan Ilusi, Pedih, Dibayang Awan, Seribu Tahun, Syair Si Pujangga, Tragedi Oktober, Baldu Biru, Senja Nan Merah dan Tiada Rahsia Antara Kita.

 

Seperti dikongsikan, karier anak jati Gombak itu bermula dengan Wings sekitar 1985 sehingga berada pada tahap sekarang, termasuk menceburi arena lakonan dan duduk di kerusi pengarah.

Konsert Awie Journey dari satu sisi lain menjadi kupasan perjalanan kerjaya yang diterjemahkan mengikut turutan antara 1985 (kecuali 1987 hingga 1992) hingga sekarang dengan setiap fasa diselitkan cerita lalu dan lebih hidup dengan tayangan ‘footage’ pada skrin.

KONSERT Awie Journey 2025 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, menjadi persembahan mega solo yang mengupas perjalanan kerjaya vokalis Wings itu sejak empat dekad lalu.

“Pada 1985, kami buat band dan setahun kemudian, rezeki menyebelahi Wings apabila hasilkan album bersama Datuk M. Nasir sebagai produser.

“Saya mulakan perjalanan dengan ilmu kosong dalam buat album dan kali pertama masuk studio rakaman, tapi alhamdulillah album selamat dikeluarkan,” ungkapnya.

Singkap rahsia

Turut membuka rahsia yang selama ini disimpan kemas, katanya selain kenangan bikin album sulung dengan maestro muzik M. Nasir, rambut ditarah menteri juga antara momen sejarah buatnya 

“Ketika itu, M. Nasir cakap dapat jual 10,000 pun sudah syukur, rasa macam hina sangat, tetapi kami kenal beliau seorang yang ‘straight forward’ dan album meletup serta terjual hingga 200,000 unit.

“Ini memang kejutan dalam industri hiburan.

“Selepas keluarkan album pertama, kami hasilkan pula Jerangkung Dalam Almari dan Double Trouble bersama Search pada 1991. 

“Tapi ketika itu, kami jadi ‘kambing hitam’ apabila rambut dijadikan isu negara.

“Sebab rambut panjang kami tak dapat ‘airplay’, tiada konsert, tak boleh buat apapun, hanya jadi mentimun sahaja. Nak tak nak dengan poket kosong, kami berpakat jumpa menteri.

“Menteri potongkan rambut, syukur berharga juga rambut seorang rockers pada masa itu. Itulah pengalaman jadi anak seni,” dedahnya.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok