PENYANYI dan pelakon Aliff Aziz Kembali menjadi bahan bualan ramai apabila tular beberapa video dan fotonya aktif menyertai aktiviti keagamaan bersama jemaah tabligh dipercayai di Singapura baru-baru ini.
Perkara tersebut tular selepas pendakwah bebas dikenali sebagai Ustaz Taufik memuat naik foto dan video bersama Aliff, 33, yang hadir ke majlis agama.
Menerusi beberapa perkongsian bersama pelantun lagu Sayang Sayang itu, Ustaz Taufik meminta orang ramai tidak menghukum seseorang hanya kerana khilaf yang dilakukan pada masa lalu.
Kalau kamu ada akal dan mata, kenapa kamu lihat dan hukum manusia hanya dengan telinga?
“Doakan yang baik-baik, fikirkan yang baik-baik dan mudah-mudahan pengakhirannya semuanya akan menjadi lebih baik,” katanya.
Dalam masa sama, Ustaz Taufik berharap setiap hal yang dipelajari dalam majlis ilmu tersebut dapat membentuk seseorang itu menjadi lebih baik.
“Ulama beritahu, ‘hakikatnya di dunia ini tiada orang jahat tetapi mereka yang tersalah memilih suasana.
Mudah-mudahan suasana agama ketika keluar tiga hari ini akan menjadi medan tarbiah untuk kami islah diri dan belajar menjadi orang yang baik di sisi Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, dalam ruangan komen dibanjiri dengan doa semoga bapa kepada dua cahaya mata itu menemui jalan diredai Allah dan diberi kekuatan menjalani segala dugaan hidup.
Ya Allah, suka lihat Aliff tersenyum bersama orang-orang yang baik, semoga dipermudahkan urusan.
“Saya simpati dengan Aliff, harap semuanya baik-baik sahaja,” komen netizen.
Mengimbau semula, Aliff atau nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz pernah aktif bersama Jemaah tabligh sekitar 2021.
Ketika itu, dia berkata mendapat hidayah untuk menyertai tabligh selepas melayari Instagram dan melihat perkongsian beberapa selebriti lain. – HIBGLAM