DITEBAK sedang menjalin cinta bersama pelakon baharu, Jazmy Juma, dramatis Scha Elinnea lebih selesa membiarkan status spekulasi berkenaan kekal sebagai rahsia.
Scha atau nama lengkapnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 25, bagaimanapun mengakui selesa berkawan dengan jejaka tampan itu yang disifatkan sentiasa menyokong dan memberikan respons positif terhadapnya.
“Saya sangat selesa dengan dia kerana dia senang untuk dibawa berbincang.
“Dia selalu ambil berat tentang saya, penyayang dan juga seorang yang sangat lemah lembut.
“Namun, saya tidak mahu jawab (status hubungan). Saya harap kekal sebagai rahsia sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sesi fotografi drama Anak Anak Mafia, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon drama Mr. Grey itu memaklumkan perkenalannya bersama jejaka berusia 26 tahun itu bermula selepas mereka digandingkan dalam drama Nuh & Nayla terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.
“Keserasian saya dan Jazmy sangat kuat seperti apa yang orang nampak. Kami memang sangat rapat tetapi mengenai status kami, saya harap kekal sebagai rahsia.
“Kami kenal sekitar tahun ini juga dan pernah berjumpa di pejabat Suhan. Dari situ kami berkenalan dan tidak janggal antara satu sama lain,” ujarnya.
Ditanya mengenai usikan peminat yang ‘menjodohkannya’ dengan Jazmy, Scha enggan ambil peduli walaupun rata-rata sangat teruja melihat keakraban mereka.
“Orang selalu juga kenenkan saya dalam drama sebelum ini tetapi tak sebanyak bersama Jazmy sampai ada tanda pagar.
“Namun, saya okey sahaja dan tiada masalah pun apabila ramai yang kenenkan kami berdua,” jelasnya.
Sebelum ini, ramai yang suka melihat keserasian Scha dan Jazmy dalam drama Nuh & Nayla hingga rata-rata berharap mereka menjadi pasangan kekasih di luar set. –HIBGLAM