KONSERT jelajah Eras Tour penyanyi popular antarabangsa Taylor Swift yang dijadual berlangsung di Vienna, Austria dua minggu lalu dibatalkan selepas pihak kerajaan mengesan wujudnya ancama serangan untuk membunuh ribuan penonton di acara tersebut.
Hasil siasatan terperinci, pengganas yang memberi ancaman tersebut berniat untuk membunuh sejumlah besar penonton yang hadir termasuk rakyat dari Amerika Syarikat.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David S. Cohen pada Sidang Kemuncak Perisikan tahunan di luar Washington, Amerika Syarikat semalam.
“Mereka merancang untuk membunuh sejumlah besar iaitu puluhan ribu orang di konsert tersebut dan saya pasti ramai rakyat Amerika Syarikat hadir.
“Kerajaan Austria dapat membuat penangkapan itu selepas melakukan kerjasama dan komuniti perisikan yang memberi maklumat tentang rancangan kumpulan yang berkaitan dengan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS),” ujarnya.
Dalam pada itu, Cohen menegaskan mereka tidak ragu-ragu bahawa tujuan ancaman tersebut adalah untuk menyerang konsert Swift membunuh sejumlah besar penonton yang hadir.
Terdahulu pada 7 Ogos, penganjur konsert Austria Barracuda Music mengumumkan bahawa tiga pertunjukan Eras Tour yang dijadualkan di Stadium Ernst Happel dibatalkan kerana ancaman pengganas.
Hasil risikan, pihak berkuasa telah menahan tiga orang yang dituduh merancang serangan itu, termasuk seorang yang ditemui dengan bahan pembuatan bom. – HIBGLAM