MEMAHAMI anak lelaki tidak pandai melakukan kerja dapur, pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta, sedia menggajikan pembantu rumah demi keselesaan menantunya apabila berkahwin dengan putera sulungnya kelak.
Kata Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar, 51, sejak kecil ketiga-tiga anaknya termasuk Ammar Effendy yang kini berusia 28 tahun kurang tahu melakukan urusan rumah disebabkan hanya diminta fokus terhadap pelajaran.
“Semuanya silap saya sendiri yang meminta mereka tumpukan perhatian pada tugasan berkaitan sekolah, manakala urusan kerja rumah saya atau pembantu yang selesaikan.
Kalau dah kahwin nanti saya tak yakin dia boleh tolong isterinya mengemas ataupun buat kerja di dapur sebab buang sampah pun dia geli. Jadi, nak ringankan beban menantu saya tak kisah ambil pembantu rumah untuk mereka.
“Saya pun sejak kahwin dulu Zain (suami) ambil pembantu rumah untuk tolong saya. Tiada masalah pun, janji menantu ‘happy’, saya pun senang hati,” katanya kepada HibGlam.
Pada masa sama, pelakon Rombongan Makciks ke Dataran Merdeka itu berbesar hati andai anak menantunya mahu tinggal di rumahnya selepas berkahwin.
Saya tak kisah kalau mereka nak tinggal asing tapi duduk di rumah saya untuk permulaan membina kehidupan baru pun saya tak kisah walaupun ada orang cakap jangan duduk dengan mentua.
“Di rumah saya sekarang tak sampai 10 orang termasuk mak mentua. Kalau mereka mahu tinggal sekali, alhamdulillah,” ujarnya ketika ditemui pada pelancaran Kempen Inilah Kita Astro, semalam.
Terdahulu, Che Ta mendedahkan bakal merisik calon menantu untuk putera sulungnya, Ammar Effendy minggu depan yang juga disifatkan sebagai wanita baik, berpendidikan serta daripada keluarga mementingkan agama.
Pilihan anak bujangnya itu dikatakan berhijab, sederhana serta tidak layan media sosial.
Begitupun, majlis pertunangan mahupun tarikh pernikahan yang dijangka dilangsungkan tahun depan hanya dibincangkan pada acara merisik.
Selain Ammar, Che Ta turut mempunyai dua lagi cahaya mata iaitu Aniq Ezzra, 24 dan Aaisyah Dhia Rana, 10.- HIBGLAM