POPULARITI merudum selepas berkahwin, penyanyi Haqiem Rusli reda dan menyifatkan perkara itu sebagai asam garam anak seni.
Pun begitu, Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 26, berkata, dia enggan menyerah kepada nasib, sebaliknya tampil dengan strategi serta karya berkualiti agar kekal relevan.
“Nama merudum selepas berkahwin bagi saya lumrah dihadapi setiap penyanyi yang akan sedikit terkesan pada satu tahap selain turut beri impak terhadap kerjaya.
Saya buat kajian, bukan saya sahaja mengalami turun naik seperti itu bahkan situasi sama berlaku kepada hampir semua penyanyi tetapi sebagai anak seni, kita kena teruskan berjuang.
“Perlu lebih kreatif dan pasang strategi, kena ada satu kesedaran dan tanggungjawab untuk pastikan diri kekal relevan dalam industri dengan terus hasilkan karya bermutu buat peminat,” katanya dalam sebuah video temu bual.
Sisi positifnya kata pelantun lagu Tergantung Sepi itu, dia lega apabila kisah sensasi membabitkan isterinya, Anis Sofea semakin kurang diperkatakan netizen.
“Sebagai insan dikenali perkara itu memang tidak boleh lari, tapi apa yang berlaku saya anggap mereka cuma beri nasihat sahaja, baik kasar atau lembut, saya terima semua itu dengan hati terbuka.
Tetapi saya lebih hormat orang tegur secara bersemuka, jangan hanya dalam media sosial sahaja atau kalau saya dan sesiapa di sekeliling saya buat silap, terus ‘call’ atau mesej saya terus.
“Dengan cara sebegitu, kita tak buka ruang untuk orang lain turut sama naik mencaci maki,” luahnya.
Terdahulu, Haqiem berkahwin dengan usahawan, Anis pada 19 November 2021 dan masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata. – HIBGLAM