Caliph Buskers tak benci Fendy, sedia terima semula

“SAYA okey jika Fendy ingin kembali bersama Caliph Buskers asalkan dia betul-betul beri komitmen.”

Demikian kata vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat mengenai pemain dram mereka iaitu Fendy Adlun yang meninggalkan kumpulan itu baru-baru ini.

Menurut Azmi atau nama lengkapnya, Kharul Azmi Saat, 37, Fendy mengundurkan diri dari Caliph Buskers kerana ingin membawa haluannya sendiri selain tiada tawaran secara berkumpulan.

“Caliph Buskers dah lama tak ada tawaran buat persembahan. Kami hanya muncul dalam rancangan MeleTOP setiap minggu. Tetapi Fendy sudah dua tahun tidak bersama MeleTOP.

“Bila tiada tawaran, Fendy rasa Caliph Buskers macam sudah sendu dan tiada harapan. Jadi dia cadangkan kami berehat. Tetapi saya tidak mahu kerana sayang. Jiwa saya lebih kepada menyanyi secara berkumpulan. Kalau kami kuburkan Caliph Buskers, kasihan pada ahli-ahli yang lain. Ini sahaja sumber pendapatan mereka.

“Fendy memilih untuk bergerak secara solo kerana dia ada rancangan kerjaya solonya sendiri. Dia pun akan lancarkan lagu solo baharu tidak lama lagi, ” katanya ketika ditemui di pelancaran lagu Majnun, di sini, semalam.

Ditanya bagaimana hubungannya dengan Fendy, kata Azmi mereka tidak bermasam muka.

“Fendy keluar cara baik. Kami tak bergaduh atau bermaki-makian. Kami cuma beritahu jika dia tak boleh beri komitmen, lebih baik dia berehat buat sementara waktu. Selepas itu dia pun terus keluar daripada Caliph Buskers.

“Kami faham keadaan itu dan tiada dendam dengannya. Kami tidak benci Fendy. Tetapi tak tahulah dengan Fendy. Tetapi setakat yang saya kenal Fendi, dia seorang yang sangat profesional.

“Dalam Caliphs Buskers saya yang banyak bersuara. Yang lain semua diam. Jadi mungkin sayalah yang nampak buruk pada dia,” jelasnya.

Terdahulu, pada Mei lalu Fendy menerusi hantaran dalam akaun Facebook mendedahkan dia tidak lagi bersama kumpulan Caliph Buskers selepas 10 tahun.

Caliph Buskers yang pernah mencetuskan fenomena sewaktu menyertai Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) menerusi lagu Roman Cinta kini hanya dianggotai oleh Azmi, Nirwan Zainalabidin dan Zaki Ismail. Kesemua mereka merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok