Blues Gang rai jubli emas di Zepp KL

KONSERT Blues Gang Apo Nak Dikato malam ini akan menjadi kenangan terindah buat peminat yang telah menjadi tulang belakang sepanjang 50 penubuhan band otai itu.

Selaku vokalis, Ito berkata, tangga usia yang kini sudah mencecah 73 tahun membuatkan dirinya meletakkan harapan tinggi agar konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur mampu menghiburkan peminat.

Ito tidak menafikan ada kebimbangan yang bersarang dalam hati, tentang bisikan kecil kononnya konsert berkenaan berkemungkinan akan menjadi persembahan terakhir memandang masing-masing sudah meniti usia senja

“Saya ingin menjadikan konsert ini sejarah buat kami semua. Kalau hendak cakap konsert ini akan jadi persembahan terakhir, kita tidak tahu.

“Memandangkan usia kami juga sudah melepasi angka tujuh. Apa yang boleh diharapkan agar peminat yang datang nanti akan terhibur,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sebuah studio di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Ito kumpulan tersebut turut dianggotai dua lagi anggota, Julian Mokhtar di posisi gitar utama dan Ghani Abu Talib (gitar kedua dan keyboard).

SEDAR usia juga mempengaruhi hayat di dunia, Ito tidak tahu apakah konsert malam ini bakal menjadi konsert terakhirnya bersama Blues Gang.

Bercerita mengenai persiapan konsert, Ito sebenarnya mengorbankan banyak tenaga berulang-alik mengharungi perjalanan sekitar dua jam dari Tampin, Negeri Sembilan untuk ke studio latihan di Kuala Lumpur.

Biarpun perlu bersusah payah, namun Ito tidak melihat perkara itu sebagai satu kekangan memandangkan dia berusaha untuk berikan yang terbaik buat peminat.

“Saya hanya datang ke sesi latihan pada hari biasa sekitar empat hari. Hari minggu tidak.

“Bagi saya jarak itu tiada masalah kerana perjalanan tidak memakan masa yang lama.

“Akan ada orang yang memandu kalau saya penat. Paling utama persiapan kami untuk konsert ini cukup sempurna dan dapat menghiburkan peminat,” katanya.

Bagi menampilkan kelainan, kumpulan Blues Gang akan menyanyikan untaian lagu yang jarang dimainkan radio.

Namun, lagu bertaraf ‘komersial’ tetap berada dalam senarai 17 buah lagu yang akan didendangkan pada acara yang bermula pukul 8 malam itu nanti.

Bukan sahaja memperdengarkan lagu rancak, Ito memberitahu, terdapat tiga lagu berentak perlahan yang akan dinyanyikan.

Selain menghiburkan peminat, Blues Gang turut mendedikasikan konsert tersebut buat ahli band yang sudah tiada iaitu mendiang Jim Madasamy telah meninggal dunia pada 2018 dan Allahyarham Shaik Karim pada tahun lalu.

“Konsert ini juga kami dedikasi khas buat ahli yang sudah meninggal dunia,

“Biarpun sudah tiada, tetapi perjuangan muzik itu tetap diteruskan,” katanya.

Melihat tangga usia setiap ahli yang sudah jauh meninggalkan angka separuh abad, Ito tidak menolak kenyataan sekiranya suatu hari nanti muncul ahli baharu dalam Blues Gang.

Katanya, perjuangan muzik blues tetap perlu diteruskan dan terbuka jika suatu hari nanti posisinya digantikan dengan orang lain.

“Lagu blues ini bukan sahaja diminati khalayak seusia kami, tetapi ada ramai lagi, khususnya golongan muda.

“Sebenarnya ada saja anak-anak daripada ahli band yang boleh bermain muzik.

“Cuma mereka di bangku sekolah. Pada saya kita perlukan pemuzik muda untuk menyambung legasi muzik ini demi masa depan,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok