Berterima kasihlah untuk segalanya, ucap Alhamdulillah – Kazar Saisi

AKHIRNYA bersuara, pelakon senior Kazar Saisi menasihati orang ramai agar menerima setiap dugaan dalam hidup dengan berlapang dada.

Menurut Kazar, dia meminta setiap individu tidak merungut apatah lagi terlalu bersedih setiap kali berdepan cabaran.

“Kepada semua sahabat dan teman ingatlah selalu, tidak kira situasi apapun yang sedang kita lalui, Allah telah pun memilih kita.

“Jangan bersedih atau merungut,” katanya dalam InstaStory hari ini.

Kazar bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci sama ada perkongsian tersebut berkaitan kes perceraian anaknya, Ira Kazar atau sebaliknya.

Dalam masa sama, dia juga percaya setiap dugaan ada hikmah tersendiri.

“Allah SWT tahu apa yang terbaik dan dia akan berikan kita yang paling baik walaupun mengambil masa lama.

“Berterima kasihlah untuk segalanya. Ucap Alhamdulillah,” katanya lagi.

Terdahulu, nama Kazar menjadi bualan ramai selepas tular berita pengarah Syamsul Yusof memfailkan perceraian terhadap Ira pada 19 Ogos lalu. Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Azmi Rais.

Permohanan cerai tersebut bakal didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Selasa depan.

Untuk rekod, Syamsul dan Ira atau Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand. – HJBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok