TOLONGLAH ibu bapa di luar sana, kalau lihat ‘new parents’, cakap elok-elok.
Demikian teguran pelakon Eyra Hazali yang bengang dengan sikap segelintir ibu bapa berasakan diri mereka lebih bagus dalam membesarkan anak-anak sehingga sewenang-wenangnya mengkritik pasangan lain yang baru sahaja melalui fasa tersebut.
Eyra atau nama lengkapnya Hazirah Qasdina Hazali, 25, menyedari mengenai perkara itu selepas membaca komen ditinggalkan beberapa individu pada sebuah video yang memaparkan pasangan suami isteri membawa anak mereka bersiar-siar menggunakan ‘baby carrier’.
Saya ada nampak satu video, ‘new parents’ bawa anak mereka yang baru lahir keluar berjalan-jalan. Dalam video itu, pasangan tersebut gunakan tempat mengendong bayi.
“Tetapi kebanyakan yang komen ‘terpaling parents’ nak tunjuk pada ibu bapa muda kononnya mereka terpaling bagus. Mungkin pasangan tersebut guna peralatan tersebut dengan cara yang kurang betul, tetapi janganlah cepat mengkritik.
Komen-komen yang ditinggalkan bukan lagi berbentuk mengajar tetapi lebih kepada berlagak dan rasa terpaling bagus. Netizen yang komen itu seumpama tak pernah jadi ‘new parents’ ke sebelum ini?,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Harus saling menghormati, pelakon drama Mr Grey itu berharap golongan ibu bapa berpengalaman membesarkan anak-anak sebaiknya meninggalkan komen dan ilmu berbentuk nasihat kepada pasangan yang baru menimang cahaya mata.
“Tiada benda yang salah kalau cakap dengan sopan, tak perlu keluarkan duit pun kalau beri nasihat dan ilmu dengan cara yang elok.
Ada komen seperti ‘kesiannya budak itu dapat mak bapa macam itu’, sangat menjatuhkan motivasi seseorang. Selepas ini, jangan nak berlawan ‘terpaling parents’.
“Saya yang sudah ada anak dua dan mahu masuk yang ketiga, masih belajar untuk menjadi ibu. Saya percaya semua ibu bapa di luar sana juga sama macam saya. Cabaran terbesar ibu bapa adalah membesarkan anak-anak,” katanya.
Rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat Eyra selain turut menyelar tindakan golongan yang sentiasa mencari salah orang lain kerana berasakan diri mereka sentiasa betul.
Eyra dan penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli mendirikan rumah tangga pada 1 November 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Hayder Qhalish, 4, dan Muhammad Endra Haqimie, 2.
Pelakon itu kini sedang sarat hamil anak ketiga dan dijangka melahirkan pada September ini. – HIBGLAM