Berhati-hati dengan apa anda tutur, fikir – Marissa Dania

LAMA mengunci mulut, pempengaruh Marissa Dania Hakim akhirnya tampil bersuara menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan gosip yang boleh mengundang fitnah.

Anak perempuan kepada pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi itu berkata, khalayak seharusnya menjaga setiap pertuturan dan mengelak sebarang pemikiran negatif.

“Berhenti sebarkan khabar angin dengan pelbagai spekulasi yang akan membawa kepada fitnah.

“Berhati-hati dengan apa yang anda tuturkan dan berfikir,” katanya menerusi Instagram.

Dalam masa sama, Marissa turut mengingatkan masyarakat supaya bersyukur segala aib mereka masih tersimpan rapi.

“Bersyukurlah aib kita masih dijaga Allah SWT,” ujarnya ringkas.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama atau isu yang diperkatakan, luahan Marissa dipercayai ada kaitan dengan khabar angin membabitkan diri dan keluarganya.

Minggu lalu, suaminya iaitu Ahmad Aslam mengesahkan anak sulung mereka meninggal dunia selepas dilahirkan pada usia kandungan enam bulan.

Bahkan dalam kenyataan itu, Aslam berkata hanya orang tertentu sahaja tahu mengenai perkara berkenaan termasuk bapa mentuanya.

Sehubungan itu, ada netizen yang melemparkan kecaman selain menganggap khabar duka berkenaan sebagai kifarah tindakannya berkahwin di Thailand tanpa pengetahuan keluarga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok