“Berapa jumlahnya biarlah rahsia” – Siti Nurhaliza hulur sumbangan kepada keluarga Jay Jay

TERKESAN dengan pemergian Allahyarham Jay Jay, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza menghulurkan sumbangan buat keluarga arwah menerusi Yayasan Nurjiwa.

Bagaimanapun, Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin, 45, tidak berkesempatan menziarahi pemuzik, komposer dan penerbit itu ketika dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung pada awal tahun ini.

“Pihak kami ada berhubung dengan arwah dan isterinya juga berbalas mesej, cuma kami tidak sempat meluangkan masa menziarahi beliau.

Pihak Yayasan Nurjiwa ada memberikan sumbangan hari ini kepada keluarga arwah tetapi kami mahu merahsiakan jumlah amaun yang diberikan,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Pernah berkongsi pentas dengan Allahyarham Jay Jay atau nama lengkapnya Mohd. Fauzi Darus, 67, menerusi Konsert Satu Suara, pelantun lagu Menyapa Dunia itu menyifatkan pengalaman tersebut sebagai kenangan indah.

“Dapat sepentas dengan Allahyarham Jay Jay merupakan kenangan terindah sepanjang karier saya.

Arwah terkenal dengan sikap peramah dan suka bercerita pengalaman kerjayanya,” ujarnya.

Kongsinya lagi, Allahyarham juga sangat teliti dalam setiap tugasan yang dilakukan selain memberikan persembahan energetik.

Arwah seorang yang suka melihat hasil kerja sempurna dan bersemangat sewaktu membuat latihan muzik.

“Dia juga bekerja keras untuk mengadakan persembahan pada Mei tahun lalu bersama saya,” kongsinya lagi.

Sebelum ini, Siti berkolaborasi dengan arwah Jay Jay dan Ernie Zakri dalam Konsert Satu Suara Vol. 3 di Mega Star Arena Sungei Wang Plaza pada 13 Mei tahun lalu.

Malam tadi, bekas vokalis kumpulan Carefree itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thompson Kota Damansara.

Jay Jay pernah menjalani pintasan jantung akibat saluran tersumbat di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei lalu.

Penyanyi lagu Joget Angan Tak Sudah itu tidak boleh menggerakkan tangan dan kaki kanannya seperti biasa selepas menjalani prosedur tersebut.

Difahamkan, doktor mendapati ada sesuatu mengganggu saraf otak yang menyebabkan penyanyi itu mengalami angin ahmar buat sementara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok