[VIDEO] Belum rancang kahwin, baru 4 bulan bercinta – Riena Diana

“DOAKAN yang terbaik, sudah semestinya dalam perhubungan semua orang mahukan pengakhiran yang baik.”

Demikian kata pelakon Riena Diana yang mengakui dia dan kekasihnya, Keith Foo belum menetapkan tarikh perkahwinan.

Pemilik nama penuh Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, itu berkata, baik dirinya mahupun Keith sepakat untuk tidak terburu-buru membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya kerana masih dalam proses mengenali hati budi.

“Kami tak merancang lagi untuk berkahwin sebab baru sangat kenal, dalam empat bulan. Sekarang dalam proses mengenali satu sama lain.

“Tarikh kahwin pun belum ada lagi, sebab itu saya takut nak cakap lebih-lebih. Kita tak tahu apa yang ada di hadapan.

“Setakat ini, keluarga kami berdua okey (berbeza agama) dan kami pula ambil masa dengan semuanya,” katanya kepada HibGlam ketika bertemu dengan pelakon Teater Andak Bertandak.

Berkongsi lanjut, pelakon drama Kampung People itu senang bersama aktor berdarah campuran Cina dan India itu kerana boleh dijadikan rujukan dalam bidang lakonan tetapi ada kalanya rasa sukar untuk bertemu berikutan jadual kerja yang padat.

Rasa macam mungkin kenal orang dalam industri lebih faham, dia pun berlakon dah lama dan banyak pengalaman. Senang kalau ada masalah tentang skrip atau lakonan, boleh rujuk dia.

“Kami pun selalu sibuk, berjumpa pun di set masing-masing sebab itu kami mahu kenal dahulu untuk cari rentak. Susah juga dengan orang industri sebab tiada masa,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Riena turut menepis dakwaan mengatakan hubungan bersama Keith hanyalah untuk mempromosikan drama Salju Rindu.

“Sebenarnya, kami kenal di set drama dan kebetulan saya tidak pernah berlakon dengan Keith sebelum ini.

Dari situlah saya pertama kali berjumpa dengannya. Hubungan kami bukan sebab nak promosikan drama semata-mata,” jelasnya yang mendedahkan hubungan mereka pada Jun lalu.

Sebelum ini, Riena mengakui dia dan Keith ada banyak persamaan malah status duda anak satu juga bukan penghalang untuknya mencinta jejaka itu.

Keith pula pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok