Belajar menyanyi dengan Jay Jay, dia insan yang baik – Nash

DIA insan yang sangat baik, saya tidak akan lupakan jasanya.”

Demikian perkongsian penyanyi Datuk Nash yang juga vokalis kumpulan Lefthanded yang tidak dapat menahan sebak saat mengimbau kembali kenangan merakamkan lagu Pada Syurga Di Wajahmu yang merupakan air tangan Allahyarham Jay Jay.

Nash atau nama sebenarnya, Nashrudin Elias berkata, kenangan pembikinan lagu itu masih terimpan utuh dalam fikirannya.

“Saya banyak sejarah dengan arwah. Dia menerbitkan tiga album saya malah lagu Pada Syurga di Wajahmu adalah air tangannya.

Dia menggubah lagu dan memainkan muzik untuk karya ini. Saya pernah kena marah ketika merakamkan lagu ini kerana tiada penghayatan.

“Boleh dikatakan saya ‘fed up’ ketika rakaman tapi dia bagi saya semangat sebab lagu ini bernada tinggi dan bercerita mengenai kisah rumah tangga. Dia pula memberikan sepenuh jiwanya, Alhamdulillah Pada Syurga Di Wajahmu menjadi lagu yang hebat,” katanya.

Sambung Nash yang ditemui di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, pemergian Allahyarham Jay Jay adalah satu kehilangan besar buat dirinya.

Banyak yang kami kongsi dalam studio ketika rakaman. Saya belajar dengan dia ilmu nyanyian yang sangat mantap dan dia juga seorang sahabat, komposer, penggubah lagu dan pemuzik terbaik.

“Sangat terasa kehilangannya. Negara hilang permata seni yang hebat.

Alhamdulillah Allah beri keizinan pada saya untuk melawatnya di Institut Jantung Negara (IJN) ketika dia masih dalam rawatan. Harapan saya, kita semua dapat mendoakan agar Allah angkat darjatnya dan masukkan arwah ke dalam syurga serta ampunkannya,” luah Nash.

Terdahulu, Allahyarham Jay Jay selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya pada pukul 11.15 pagi tadi.

Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara serta kenalan Allahyarham Jay Jay hadir pada majlis pengebumian itu.

Antaranya adalah penyanyi, Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir, Datuk Hattan, Datuk DJ Dave, Datuk Nash, Ruhil Amani, Ramlah Ram dan ramai lagi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Jay Jay diurus dan disolatkan di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Allahyarham Jay Jay, 67 menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya pada pukul  9.27 malam tadi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok