LEBIH aktif dalam dunia lakonan sejak beberapa tahun kebelakangan, Dafi Ismail kini semakin sedar, ada kemungkinan pendengar muzik generasi baharu sudah tidak mengenalinya sebagai penyanyi.
Enggan mensia-siakan bakat serta lagu yang disimpan, selebriti yang digilap menerusi pertandingan realiti Akademi Fantasia itu menggagahkan diri tampil bersama single baharu berjudul Hellooo! ciptaan Shazee Ishak, lirik garapan Altimet.
Dianggap sebagai salam perkenalan semula, seleksi nukilan dua figura hebat tersebut sebenarnya padat mesej positif ilham perjalanannya sebagai anak seni yang tidak putus asa biar berdepan kritikan.
Pemilik nama lengkap Gadaffi Ismail Sabri, 36, itu berharap karya yang melambangkan kematangannya selepas 17 tahun dalam industri tersebut dapat mengembalikan keyakinan pendengar.
Pada masa sama dia mahu orang sekeliling memandang serius terhadap kesungguhannya dalam arena suara yang selama ini dikatakan sekadar suka-suka.
Akuinya, kadangkala khalayak salah faham menyangka dirinya mampu memperolehi semua benda, berikutan berstatus sebagai anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Terdapat segelintir pihak anggap saya menyanyi cuma hobi, bahkan ada juga yang batalkan hasrat panggil saya buat persembahan kerana bayaran kecil.
Sebenarnya kerjaya nyanyian saya mencabar sebelum bapa saya dilantik sebagai Perdana Menteri lagi. Hanya disebabkan saya anak Ismail Sabri, mereka ingat saya tolak tawaran kalau bayaran kecil.
“Sedangkan saya sedia terima apa jua tawaran persembahan. Yang ada berstatus bapa saya, saya pun macam orang lain kena bekerja. Takkan pada usia 30-an masih minta duit ibu bapa,” katanya kepada HibGlam.
Turut mengusahakan perniagaan dron, sedikit sebanyak Dafi mempunyai pendapatan tetap, namun masih meletakkan kerjaya seni ditangga teratas.
Berkongsi cerita mengenai keluarganya, Dafi mendedahkan kecaman serta ugutan semakin berkurangan selepas bapanya tidak lagi memegang tampuk pentadbiran kerajaan.
Dia juga mampu menarik nafas lega apabila tiada lagi komen merepek daripada individu yang membenci bapanya sehingga sanggup melemparkan ugutan menakutkan.
“Apabila tidak dapat berhubung secara langsung dengan bapa, mereka DM (mesej) saya dalam Instagram untuk hamburkan rasa tidak puas hati, bahkan ada yang pernah ugut nak bunuh.
Memang saya dapat banyak mesej pelik tapi saya faham mereka tidak memaksudkannya kerana ketika Covid-19 serta fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua orang terjejas hingga menggunakan ugutan bagi melempiaskan tekanan.
“Apa pun sejak dahulu saya dididik ibu bapa jangan balas maki hamun atau lebih elok biarkan sahaja kecaman mahupun ugutan bagi mengelakkan konfrontasi,” tambahnya.
Enggan berlama-lama berkongsi gelagat pembenci, personaliti berusia 36 tahun itu bersyukur masih ramai memberikan sokongan padu, terutama peminatnya sejak zaman AF5.
Dorongan mereka akhirnya terlestari menerusi Hellooo! biarpun lagu hanya terakam, namun terperam sejak dua tahun lalu.
Inilah masa tepat untuk buat ‘comeback’, cuma mungkin sebelum ini saya terlampau banyak memikirkan soal relevankah lagi untuk menyanyi.
“Berkat doa, sokongan keluarga dan peminat, inilah hasilnya. Tidak dinafikan ada rasa ralat apabila semuanya sudah disiapkan cuma ada hal teknikal menyebabkan Hellooo! disimpan dahulu.
Paling pasti, menerusi lagu ini saya semakin dewasa dalam bermuzik.
“Saya ingin bereksperimentasi sejajar dengan peningkatan usia demi impak positif kepada kerjaya,” ujarnya.
Pernah popular menerusi lagu Bila Terasa Rindu, Dafi turut berhasrat mengadakan siri jelajah bagi mendekati peminat khususnya golongan muda.
Tidak hanya berlakon, menyanyi dan menyambung pengajian peringkat Sarjana dalam jurusan perniagaan, Dafi sebenarnya aktif melakukan kerja amal (CSR) bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ikutkan sekarang saya dalam sesi pengajian Sarjana tetapi luar kampus dan dijangka tamat tahun depan.
Bukan mahu membuktikan apa-apa, cuma saya mahu kumpul ilmu untuk mengembangkan lagi bisnes saya,” ujarnya.
Ditanya mengenai kerja CSR bersama Suara Haiwan Malaysia, Dafi sudah lebih tiga tahun bersama pertubuhan yang menjaga hal ehwal haiwan terbiar tersebut.
“Sebagai pencinta haiwan, kami berusaha membantu beberapa pusat perlindungan dengan menyalurkan bantuan makanan atau ubat-ubatan.
Bantuan sebegitu diharap dapat menyokong hasrat murni pengendali pusat memastikan kebajikan binatang peliharaan yang terbiar, terjaga.
“Keluarga saya juga merupakan pencinta haiwan terutama kucing. Di rumah kami ada 20 ekor si comel yang kebanyakannya kucing jalanan yang ibu saya selamatkan dan bawa pulang,” katanya menutup bicara. – HIBGLAM