‘Bawalah bukti kalau betul saya kaki pukul’

PELAKON Uqasha Senrose berang apabila segelintir individu melabelnya sebagai kaki pukul susulan dakwaan dia mencederakan seorang bekas pekerja baru-baru ini.

Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, menganggap tuduhan itu sebagai melampau selain menegaskan tidak pernah melabel dirinya sebagai individu yang baik sebelum ini.

“Saya tak pernah label diri sendiri baik, lembut, pijak semut tak mati atau sebagainya dan semua itu pandangan anda terhadap saya.

Saya baik dengan orang yang buat benda sama dengan saya. Orang buat jahat dengan saya pun, saya boleh berdiam diri lagi.

“Tetapi, kalau sampai fitnah saya kaki pukul, penumbuk, saya rasa sudah melampau,” katanya dalam Instagram.

Katanya, mana-mana pihak boleh mencipta situasi sendiri termasuk dirinya tetapi semua itu harus dikemukakan dengan bukti yang kukuh.

“Seperti saya cakap, kalau hanya bercakap sahaja tidak ada guna.

Saya juga boleh reka dan buat apa sahaja diingini ketika ini, tetapi bawalah sekali bukti.

“Mungkin dengan gambar atau pergi terus buat laporan polis. Bukan selepas tujuh hari baru nak buat laporan,” ujarnya.

Terdahulu, Uqasha mendedahkan ‘tembelang’ pembantu peribadi yang disifatkan sebagai tidak sedar dek untung apabila menuduh dirinya melakukan serangan fizikal sewaktu berkhidmat dengannya.

Tidak gentar, dia menegaskan mempunyai segala kukuh bagi menjawab segala tuduhan yang dilemparkan wanita berkenaan.

Lebih teruk, Uqasha mendakwa pembantu peribadinya itu pernah ‘menceroboh’ bilik tidurnya tanpa kebenaran malah mengetahui di mana tempat dia menyimpan wang.

Sejak minggu lalu, nama Uqasha dikaitkan dengan isu seorang artis wanita popular didakwa memukul pembantu peribadi sehingga menjadi perbualan hangat netizen dalam media sosial.

Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Kamal Adli itu menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan dia tidak tergamak melakukan hal sebegitu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok