BARU sahaja pulang dari tanah suci mengerjakan ibadah umrah, pelakon Eyka Farhana dihujani kecaman apabila berpakaian seksi sewaktu menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) baru-baru ini.
Dalam acara itu Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 29, dilihat selesa menggayakan dres pendek menampakkan bahagian pahanya sewaktu menonton pertunjukan fesyen rekaan Alia Bustaman.
Tindakan Eyka yang seperti tiada perubahan biarpun sudah menunaikan umrah meraih cemuhan netizen.
Pergi umrah bertutup litup, balik umrah pakai skirt pendek. Kadang-kadang rasa artis pergi umrah sekadar untuk bercuti,” komen netizen.
“Sekurang-kurangnya dalam sebulan dua ini pakailah pakaian yang sopan sedikit,” komen seorang lagi netizen.
Selain aktif berlakon, wanita bertubuh genit itu juga merupakan pempengaruh dalam bidang fesyen dan kecantikan.
Wajahnya sering menghiasi kempen jenama antarabangsa dan sering tampil dengan imej seksi.
Eyka juga dilihat berjalan di atas pentas KLFW sebagai ‘muse’ untuk jenama produk kecantikan L’Oreal Paris.
Terdahulu, pada pertengahan Julai lalu, Eyka dan beberapa rakan selebriti termasuklah Bella Astillah dan Ezaidi Aziz berangkat ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah.
Ketiga-tiga mereka terlibat dengan drama terbaharu berjudul Satu Hari Nanti yang kini sedang dalam penggambaran. – HIBGLAM