Azhan Rani kembali ‘main’ teater selepas 8 tahun

Selepas lapan tahun tidak terbabit dalam sebarang pementasan, aktor Azhan Rani akhirnya terbuka hati menerima tawaran berlakon teater Andak Bertandak.

Selama ini, Azhan atau nama sebenarnya, Azhan Abd. Rani, 48, bukan tidak teringin kembali beraksi di pentas, sebaliknya komitmen kerja di luar daerah membuatkannya perlu berfikir panjang.

Kali terakhir saya terbabit dalam pementasan teater adalah pada tahun 2016 iaitu menerusi Muzikal Randai Cindua Mato yang diadakan di Istana Budaya. 

“Selepas itu, saya tidak terbabit dalam mana-mana teater, cuma sesekali menghadirkan diri sebagai penonton. 

“Ikutkan, sekarang saya agak keberatan kerana terikat dengan penggambaran drama bersiri di Johor. 

“Dalam masa sama, saya juga perlu bahagikan masa menghadiri latihan. Jadi awalnya saya tolak, namun disebabkan Mask Team tidak berhenti memujuk selain sanggup mengatur jadual, saya terharu dan bersetuju,” katanya.

Tambahan pula, sebelum ini Mask Team pernah mempelawanya terbabit dalam teater Maduku Kalut, tetapi terpaksa ditolak berikutan komitmen tugasan lain.

SELAIN Azhan, Andak Bertandak turut dibarisi Ellie Suriaty, Riena Diana, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin.

Pada masa sama, Azhan berbesar hati menjadi sebahagian penggerak Andak Bertandak kerana dapat bersama dua bekas pelajarnya yang bertanggungjawab sebagai sutradara dan penulis skrip.

Mengakui tidak kisah bekerja di bawah anak muridnya ketika mengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dulu, dia turut berbangga dengan pencapaian mereka.

“Perasaan sudah tentu bercampur baur kerana tak percaya dulu mereka berdua ini selalu tunggu arahan saya, tapi sekarang saya pula patuh kehendak mereka.

“Jadi saya buang ke tepi sebagai individu yang pernah menjadi tenaga pengajar dan pengarah mereka. 

“Zaman dia ikut dengar saya dah habis, ini zaman kita pula ikut cakap mereka.

“Sebagai pelakon saya beri sepenuh kepercayaan kepada mereka apatah lagi kedua-duanya sudah profesional dalam bidang ini,” ulasnya.

Serap idea

Dua bekas pelajar dimaksudkan ialah sutradara bagi produksi terbitan Mask Team iaitu Azhar Zainal, manakala seorang lagi merupakan penulis skrip, Fasyali Fadhli.

Aktor yang terbabit dalam dunia teater sejak tahun 1994 itu percaya, dua bekas anak muridnya itu mempunyai kemampuan tinggi. Dia bahkan mahu menyerap semangat yang ditunjukkan dua penggiat seni itu.

“Saya cuba ‘korek’ segala idea dan semangat adrenalin orang muda ini. Saya biarkan mereka berkarya dan ikut apa yang dimahukan. 

“Inilah masa mereka untuk mengeluarkan apa yang mereka miliki dan saya ambil ‘barang’ (semangat) mereka,” katanya.

Azhan juga berharap Azhar dan Fasyali bertugas di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) terus menjadi nama penting dalam lanskap teater tanah air.

Mula-mula agak susah nak percaya tapi saya kena terima hakikat ini. Dalam masa sama, saya terharu sebab mereka kini sudah mampu memberi arahan selain pakar dalam bidang masing-masing,” ujarnya.

Bakal dipentaskan di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), barisan pelakon lain terlibat seperti Ellie Suriaty, Riena Diana, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin.

Teater yang akan menemui khalayak pada 29 Ogos sehingga 1 September depan tersebut mengisahkan kehidupan keluarga Andak dan masyarakat di sebuah kampung yang percayakan perkara tahyul sehingga menolak perubatan moden tanpa sebab munasabah. 

Tiket-tiket teater bermula pada harga RM65, RM95, RM125 dan RM155 kini dibuka untuk jualan secara atas talian menerusi www.cloudjoi.com.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok