PELAKON Ayu Raudhah selamat menimang cahaya mata ketujuh di sebuah pusat perubatan swasta di Seremban, Negeri Sembilan, tengahari semalam.
Suaminya yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha, berkata dia menguruskan sendiri proses menanam uri selepas menemani Ayu di bilik bersalin.
“Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan bayi lelaki. Ayu tengah rehat, saya pula nak balik rumah untuk uruskan uri anak.
“Buat suami di luar sana, biarlah kita yang uruskan, cuci dan tanam.
“Selain itu, saya juga nak ambil kakak dan juga abang-abang yang lain untuk tengok reaksi mereka dengan baby baharu,” katanya dalam Instagram Story.
Pada masa sama, kelahiran bayi seberat 2.3 kilogram itu juga dianggap sebagai hadiah hari jadi ke-38 buat Zaquan yang berkongsi ucapan tahniah daripada kenalan dan keluarga dalam laman sosialnya.
Biarpun dilahirkan sehari lebih awal, kehadiran anak ketujuh tetap menjadi anugerah dan hadiah istimewa buat Zaquan.
“Betullah kata Kak Ayu hari itu, kalau tak hujung, Jangkaan lahir sama tarikh dengan abang. Tapi ‘your 7’ nak keluar awal sehari daripada daddy dia,” kata saudara terdekat pasangan terbabit.
Ayu yang juga adik kepada aktres terkenal Rozita Che Wan mendirikan rumah tangga dengan Zaquan pada 21 Januari 2011.
Hasil perkongsian hidup, sebelum ini mereka sudah dikurniakan enam anak, Muhammad Aisy Qaiser, 11, Muhammad Aisy Aryann, 10, Laura Zuleykha, 7, dan Muhammad Aisy Khaliq, 5, Muhammad Aisy Al Jibreel, 2, dan anak keenam yang kini berusia setahun. – HIBGLAM