Masih dalam fasa bersedih selepas kehilangan abang tercinta Rabu lalu, penyanyi Aufahanie menzahirkan rasa geram apabila dihubungi beberapa wakil jenama yang menawarkan peluang membuat ulasan produk dalam media sosialnya.
Menurut Aufa atau nama lengkapnya Nur Aufahanie Mokhtar, 20, akaun media sosialnya kini menjadi sasaran beberapa jenama gara-gara ‘engagement’ tinggi yang diterima sejak berdepan detik kehilangan seterusnya kematian, abangnya Nidza Afham, juga penyanyi dan YouTuber.
Saya cuba untuk tidak memperbesarkan perkara ini. Tetapi makin lama makin banyak pula jenama yang DM (mesej) saya untuk buat kempen dan ‘review’ produk mereka.
“Saya baru kehilangan ahli keluarga. Akaun (media sosial) saya dicari untuk perkembangan abang saya. Bukan saya viral sebab benda lain.
“Di manakah akal fikiran anda? Mesej saya untuk beri kempen kerana ‘engagement’ saya sedang tinggi sekarang demi kepentingan jenama anda? ,” kongsinya dalam InstaStory.
Tambah Aufa lagi, apa yang membuatkan dia lebih bengang adalah ada jenama yang seolah-olah memaksanya untuk bekerjsama dengan mereka.
Perkara ini sangat tidak boleh diterima. Dari TikTok hingga ke Instagram, dua tiga kali jenama ini mesej saya untuk kolaborasi kempen seolah-olah memaksa.
“Jadi saya rasa saya perlu bersuara supaya anda faham ini tidak patut berlaku. Tolong jadi profesional.
“Takkan tak ada seorang pun pasukan perhubungan awam (PR) anda yang tahu perkara ini tidak patut berlaku? Kecewa saya,” luahnya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam, pada Khamis lalu kira-kira jam 6.45 petang.
Arwah dilaporkan hilang selepas keluar berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang pada malam Selasa.
Pada Rabu polis menemui mayat terapung berdekatan Jambatan Sungai Klang yang disahkan sebagai Nidza Afham.
Kematian arwah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). KOSMO! ONLINE