Ara selalu terima mesej lucah daripada orang lelaki

WALAUPUN tampil dengan potongan rambut pendek dan gaya tomboi, namun penyanyi Ara Johari mengakui tidak pernah menerima mesej (DM) tidak senonoh daripada wanita dalam media sosial.

Ara atau nama lengkapnya Nurfarrah Izatie Johari, 27, memberitahu, dia bagaimanapun kerap menerima mesej berunsur lucah daripada peminat lelaki sejak beberapa tahun lalu.

Jelas Ara, situasi itu secara tidak langsung mengakibatkan dia berasa tertekan dan mengambil pendekatan untuk membiarkan saja komen-komen tersebut.

“Masa saya berpenampilan kasar dahulu pun memang ada mendapat mesej tidak senonoh daripada lelaki. Tidak tahu mengapa mereka berselera dengan saya.

“Saya rasa stres bila selalu dapat mesej begitu. Apabila dapat mesej seperti itu saya buat tidak tahu dan abaikan saja.

“Semua mesej yang saya terima daripada lelaki, tidak pernah dapat daripada wanita, tetapi tidak tahu jika mereka menggunakan akaun palsu atau bagaimana,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran lagu Menjaga Jodoh Orang Lain di sini hari ini.

Namun, Ara tidak menolak komen yang diterima daripada wanita kebanyakan memuji penampilannya yang kini lebih feminin.

“Saya tidak pernah dapat mesej bukan-bukan daripada mereka (peminat wanita), tetapi rata-rata memuji penanpilan saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ara yang kini tampil dengan lagu baharu bertajuk Menjaga Jodoh Orang Lain yang mendapat sentuhan daripada komposer Indonesia, Ilham Baso.

Tambahnya, lagu tersebut diinspirasikan daripada pengalaman dirinya sendiri yang sebelum ini pernah putus cinta.

“Saya jatuh cinta ketika kali pertama dengar demo lagu ini. Kebetulan ketika itu memang sedang patah hati.

“Saya sangat bertuah dapat bekerja dengan pemuzik handal Indonesia. Ia merupakan satu pengalaman baru dalam kerja seni saya,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok