Gara-gara apendiks pecah ketika sarat hamil, pelakon Puteri Aishah terpaksa memilih untuk bersalin secara pembedahan caesarean.
Kata Puteri atau nama lengkapnya Puteri Aishah Sulaiman, 30, perkara tersebut terjadi semasa bulan Ramadan lalu sehingga dia terpaksa mengambil keputusan melahirkan putera sulungnya, Muhammad Faliq Firdaus dengan kadar segera.
“Ramai yang tak tahu sebenarnya saya terpaksa bersalin secara czer (pembedahan) sebab apendiks saya pecah pada 4 April lalu.
Apendiks itu pecah di bawah, sewaktu bulan puasa, kemudian alang-alang saya terus melahirkan,” katanya dalam sebuah temu bual.
Mahu melihat perkembangan anak, bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu berehat dari sebarang tawaran lakonan buat masa ini.
“Buat masa ini saya masih tidak mahu terima sebarang tawaran berlakon, sebab bayi baru empat bulan.
“Saya masih mahu jaganya sehingga dia pandai berjalan. Lagi pun dia tak nak dengan orang lain.
Andai dia sudah besar, pandai jalan dan dah kenal orang, saya akan kembali ke set penggambaran,” ujarnya.
Pada April lalu, Aishah selamat melahirkan cahaya mata lelaki selepas mengumumkan dirinya hamil anak pertama Januari lalu.
Terdahulu, Aishah dan Firdaus mendirikan rumah tangga pada November 2021. – HIBGLAM