PENYANYI Amir Masdi menyangkal dakwaan sedang patah hati selepas dilihat beberapa kali memuat naik status luahan kecewa dalam aplikasi X.
Menurut Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi, 28, ayat-ayat yang dikongsikan dalam aplikasi X itu adalah baik lirik lagu album baharunya yang akan dilancarkan pada Oktober nanti.
“Saya kini sedang mempromosikan album baharu. Apa yang saya kongsikan dalam X adalah salah satu cara untuk mempromosikan lagu-lagu yang bakal dilancarkan kelak. Boleh dikatakan ini adalah ‘teaser’.
“Dalam Instagram saya kongsikan gambar, video dan demo. Saya fikir apa yang harus dilakukan untuk promosi dalam X. Jadi saya kongsikan mesej yang ingin disampaikan dalam setiap lagu.
“Tak sangka pula ramai netizen beri perhatian dengan tindakan saya ini. Apa yang boleh saya katakan ini adalah gimik yang terjadi secara tidak langsung,” katanya ketika ditemui di sidang media Hausboom Music Festival 2024 baru-baru ini.
Ditanya adakah apa yang dikongsikan dalam X itu ada kena mengena dengan kehidupan peribadinya, juara Akademi Fantasia 2016 itu mengakuinya.
“Album baru saya diterbitkan oleh Edry Abdul Halim. Kesemua 12 lagu dalam album ini adalah ciptaan beliau dan saya sendiri.
“Edry ada tanya saya tentang apa pengalaman paling perit yang pernah saya lalui selama 28 tahun hidup.
“Jadi saya kongsikan pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui seperti dimanipulasi dan ditikam belakang oleh sahabat sendiri,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Amir bakal terlibat dengan acara Hausboom Music Festival 2024 yang akan berlangsung pada 5 dan 6 Oktober depan bertempat di KL Base, Kuala Lumpur.
Selain Amir, festival yang turut menggabungkan elemen fesyen dan makanan tempatan itu turut membariskan 31 lagi artis popular yang lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Zainal Abidin, Wings, Dolla, Joe Flizzow, Senario, Bunkface, Ruffedge, Exist, Akim And The Majistret dan ramai lagi. – HIBGLAM
View this post on Instagram