KAMI hanya berkawan.”
Tegas pelakon Aedy Ashraf atau nama lengkap Mohammad Addy Ashraf Rosmad, 30, tentang hubungannya dengan bekas kekasih iaitu pelakon Amelia Henderson.
Katanya, tiada apa yang perlu diperbesar-besarkan lagi tentang status hubungan mereka yang kini hanya berpaksikan persahabatan.
“Saya rasa status itu sangat jelas sekarang ini. Kami tetap berkawan baik dan hubungan itu hanya di situ saja.
“Pada saya kami masing-masing sudah menjelaskan tentang situasi ini biarkan sahaja begitu,” katanya ketika ditemui dalam majlis Kahar: Kapla High Council Wrap Party, semalam.
Dalam perkembangan lain, Aedy turut mengharapkan yang terbaik buat Amelia yang kini berdepan kes saman terhadap penulis skrip drama Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rehal Nuharis.
Katanya, sebagai teman baik dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat Amelia atau nama lengkapnya Amelia Thripura Henderson, 29, selain menyifatkan pelakon itu sebagai wanita yang kuat.
“Saya tahu mengenai cerita itu dan kami masih bercakap sebagai kawan. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia.
Semoga kebenaran akan berpihak kepada dia. Saya rasa simpati, tetapi saya tahu dia wanita yang kuat dan cekal dalam mengharungi segala ujian.
“Saya mengharapkan yang terbaik untuk dia dan saya rasa satu Malaysia juga mendoakan untuk dia. Semoga dipermudahkan urusan,” katanya.
Kes saman itu akan diteruskan dengan perbicaraan selepas Amelia dan Rehal atau nama sebenarnya Haironizan Mohd. Idris gagal selesaikan secara baik melalui proses mediasi kelmarin.
Sebelum ini difahamkan, Aedy dan Amelia mula rapat selepas sama-sama menjayakan drama Kisah Cinta Kita yang ditayangkan pada penghujung 2021.
Setahun kemudian, Aedy membuat kejutan melamar Amelia secara terbuka untuk menjadi kekasihnya di sebuah acara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun pada Julai lalu Aedy dan Amelia memberi bayangan hubungan cinta mereka berakhir apabila kedua-duanya memuat naik hantaran berbaur kecewa. – HIBGLAM