Aliff Aziz sertai tabligh, Bella Astillah doakan yang terbaik

SAYA tidak tahu dan tidak mahu komen banyak.”

Demikian ulas pelakon dan penyanyi Bella Astillah mengenai video bekas suaminya, Aliff Aziz kembali mendalami agama bersama tabligh yang tular dalam aplikasi TikTok baru-baru ini.

“Saya tidak tahu mengenai hantaran yang tular dalam TikTok. Kalau boleh, saya tidak mahu komen lebih-lebih.

Sebab itu adalah perjalanan hidupnya. Lagipun kita tidak tahu apa niat sebenar seseorang itu. Kalau betul berubah, Alhamdulillah.

“Sekiranya dia mahu berubah ke arah yang lebih baik, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik sahaja,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Jiwa Malaysia 2024 di Pavilion Bukit Jalil sebentar tadi.

Terdahulu, tular sebuah video memperlihatkan Aliff Aziz dilihat bersama-sama dengan kumpulan tabligh baru-baru ini.

Menerusi sepotong video yang dikongsikan oleh Ustaz Haji Taufik dalam TikTok, Aliff yang dilihat mengenakan serban putih berada di salah sebuah masjid di Singapura.

Dalam perkongsian sama, Ustaz Haji Taufik turut menitipkan pesanan agar orang ramai tidak mudah menjatuhkan hukum sesama manusia.

Untuk rekod, Aliff pernah menyertai jemaah tabligh sekitar Ogos 2021 selepas bercerai kali pertama.

Beralih perihal karier, Bella menjadi satu-satunya penyanyi solo yang akan membuat persembahan di Konsert Jiwa Malaysia 2024 yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 7 September depan.

Selain Bella, penyanyi lain yang turut membuat persembahan adalah Bunkface, Dolla, Ruffedge, Spider, Insomniacks dan Hujan.

Tiket konsert yang berharga serendah RM90 sehingga RM120 boleh didapati menerusi laman web https://ilassotickets.com. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok