Ada duit sendiri, Intan Najuwa nafi ‘makan’ harta suami

TIDAK selesa terus dituduh bermewah menggunakan wang suami, pelakon Datin Intan Najuwa menegaskan dirinya membelanjakan duit hasil kerja kerasnya sebagai anak seni.

Ujar Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 27, dia tidak perlu bergantung kepada suami iaitu Datuk Ahmad Azraf Azman kerana masih mampu hidup berdikari tanpa mengharapkan wang sesiapa.

“Untuk sesiapa yang tertanya-tanya dan terfikir bahawa saya menggunakan duit suami, tolong ingat ya saya ada duit dan pendapatan sendiri.

Saya tidak perlukan dia (suami) untuk menanggung saya. Ke mana sahaja saya pergi, sama ada melancong atau membeli belah, saya tidak menggunakan wang suami.

“Jadi tolong faham yang saya boleh berdikari walaupun sudah berkahwin. Tolong jangan anggap saya sentiasa menggunakan wang suami untuk segala hal,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram Story.

Bukan berlagak sebaliknya pelakon drama Pink Smile itu terpaksa menjelaskan perkara itu kerana sudah penat dengan andaian netizen yang sering mengaitkan suaminya dengan setiap perbelanjaan dilakukan.

Jangan libatkan suami saya dengan setiap aktiviti perbelanjaan, ‘shopping’ dan melancong kerana dia tidak ada kena mengena dengan setiap apa yang saya lakukan.

“Saya sudah penat dengan kata-kata masyarakat yang membuat andaian tentang perkara ini (sumber kewangan).

Tolong ingat, jangan libatkan suami saya dalam hal kewangan atau cara saya berbelanja. Terima kasih,” jelasnya.

Malah, Intan memberitahu sebelum berkahwin lagi dia sudah pandai mencari wang dan tidak timbul isu dia bergantung hidup dengan orang lain.

“Saya uruskan segala hal kewangan saya dan berharap perkara ini dapat memberikan pencerahan atas segala salah faham yang berlaku.

Saya tidak kisah dengan status diri jadi jangan ingat saya bergantung kepada suami untuk segala-galanya. Jangan ganggu suami saya lagi.

“Sebelum berkahwin saya sudah mempunyai kehidupan sendiri dan saya tahu macam mana nak berdikari walaupun sudah mendirikan rumah tangga,” ujarnya.

Sebelum ini, meledak dalam media sosial apabila Intan terbang ke luar negara bagi membeli keperluan cahaya mata pertama yang akan lahir tidak lama lagi.

Kata Intan, dia memilih ke Kota London bagi membeli barangan buat bayinya dan tidak sabar berkongsi dengan pengikut dalam media sosial.

Intan yang bernikah dengan Azraf pada 18 Ogos tahun lalu mengumumkan berita kehamilannya pada Pada 18 Julai lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok