100 program percuma sempena merdeka, Hari Malaysia

MERAIKAN bulan kemerdekaan  dan Hari Malaysia dengan cara istimewa, Astro melancarkan kempen Inilah KITA bersama tayangan lebih 100 program percuma bermula 15 Ogos hingga 16 September 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, pelaksanaan kempen berkenaan bertujuan meraikan kepelbagaian dan kesaksamaan yang memberikan impak positif dalam masyarakat.

Menurutnya, inisiatif menarik itu dibawa menerusi siaran KITA di saluran 100 (CH100) yang memaparkan  cerita serta hiburan berterusan di saluran Astro, NJOI dan sooka.

“Astro mengangkat Inilah KITA sebagai nama kempen kali ini kerana ia mencerminkan budaya Malaysia yang pelbagai, bersatu padu dan berdaya tahan.

Fokus kami tahun ini adalah untuk meraikan semangat ‘kita’ sebagai masyarakat berbilang bangsa dan latar budaya,” katanya ketika majlis pelancaran kempen Inilah KITA, baru-baru ini.

Tambah Euan, sebagai jenama yang diasaskan di Malaysia, Astro ingin berkongsi kemeriahan sempena Hari Merdeka serta Hari Malaysia sepanjang sebulan bermula 15 Ogos 2024.

Mengulas mengenai saluran KITA, Euan memaklumkan, pelanggan disajikan tayangan perdana, program dan program baharu seperti Lion Girl, Rombongan Makciks Ke Dataran Merdeka, The Music Journey, Pasangan musim kedua serta Oga & Friends. 

Katanya, pelanggan juga berpeluang menikmati episod istimewa Family Feud Malaysia dan rancangan lain seperti Hantu Karipap, Terompak Sana Tertukar Sini, Call Me Handsome ‘Malaysia KITA’, Sofa Kentang Selebriti dan banyak lagi.

Astro sangat teruja untuk membawakan kandungan yang beraneka genre ke setiap isi rumah bagi mengangkat semangat kekitaan.

“Sepanjang kempen berlangsung, kami menjemput anda menonton saluran KITA termasuk mendengar lagu tema kempen yang dinyanyikan Hael Husaini, Wani Kayrie, Daniel Fong, Joey Leong, Balan Kash dan Roshin,” ujarnya.

Semua pelanggan Astro turut berpeluang menikmati enam saluran lain secara percuma sepanjang kempen berlangsung.

Antara saluran percuma termasuklah Showcase(CH413), Hits Movies (CH401), tvN Movies (CH416), Hits Now (CH702), Zee Cinema (CH251), dan ABO Movies Thangathirai (CH241).

Kongsi cerita

Astro turut menjemput rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam aktiviti sosial Astro Inilah Hero KITA bermula 15 Ogos hingga 16 September dengan berkongsi cerita teladan bercirikan kebaikan, dedikasi dan positif.

Cerita itu boleh dikongsikan dalam format teks, gambar atau video dalam media sosial dengan tanda pagar #InilahKITA.

“Tonton Berita Terkini KITA di segmen Astro AWANI jam 5 petang dan KITA (CH100) pada jam 8.30 malam. 

“Kami membawakan cerita menarik mengenai individu ‘Inilah Hero KITA’ yang menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik,” ujar Euan.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok