Zahirah Macwilson dijentik Public Health sebab merokok

SUSULAN melakonkan babak merokok, pelakon Zahirah Macwilson ditegur sengaja mempromosikan amalan gaya hidup tidak sihat, sekali gus mampu memberi pengaruh buruk kepada generasi muda.

Menurut persatuan Public Health Malaysia (PHM), adegan tersebut seharusnya tidak berlaku terutama melibatkan tayangan televisyen yang boleh ditonton pelbagai lapisan usia.

“Agak menyedihkan situasi di Malaysia apabila pelakon Zahirah Macwilson perlu melakonkan watak seorang wanita yang merokok walaupun beliau sendiri bukan perokok dan membenci tabiat tersebut.

“Kepada semua pelakon dan pengiat seni, teguhkan prinsip dalam kerjaya dengan meletakkan garis sempadan dalam hasil kerja anda.

“Berani untuk katakan tidak kepada adegan merokok demi kesihatan anda sendiri dan untuk masyarakat,” jelas PHM menerusi Facebook.

Dalam pada itu, PHM turut membandingkan industri hiburan tempatan dengan Korea Selatan yang jelas mengharamkan adegan merokok untuk naskhah televisyen.

“Kejayaan industri K-drama di Korea Selatan merupakan fenomena budaya dan ekonomi yang hebat.

“Ini didorong oleh produksi yang berkualiti, lakonan yang berkesan serta menggunakan tema universal yang menarik untuk tontonan seisi keluarga.

“Apa yang menarik, produksi Korea telah mengharamkan sama sekali adegan merokok dalam drama. Ini membuktikan untuk menghasilkan satu hasil produksi yang hebat dan lakonan yang berimpak tinggi,” katanya lagi.

Terdahulu adegan merokok lakonan Zahirah Macwilson, 27, dipaparkan menerusi drama Metro Crime Series: Siapakah Lelaki Itu? siaran TV3.

Ibu kepada dua anak itu membawakan watak sebagai Fatimah Umar iaitu seorang wartawan meja jenayah.

Drama terbitan Razors Edge Pictures tersebut asalnya ditayangkan dalam platform penstriman Tonton sebelum diulang tayang menerusi slot Lestary. HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok